Skip to main content

Dunia

Steve Ellis pelantun lagu "Everlasting Love", meninggal dunia pada usia 76 tahun

Penyanyi utama kumpulan Love Affair, Steve Ellis, yang terkenal menerusi lagu saduran kumpulan itu, "Everlasting Love", meninggal dunia pada usia 76 tahun. - Gambar fail
Penyanyi utama kumpulan Love Affair, Steve Ellis, yang terkenal menerusi lagu saduran kumpulan itu, "Everlasting Love", meninggal dunia pada usia 76 tahun. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Steve Ellis, vokalis utama Love Affair yang terkenal dengan lagu "Everlasting Love", meninggal dunia pada usia 76 tahun akibat komplikasi penyakit kronik.
  • Ellis menubuhkan Love Affair pada 1966 dan membawa kumpulan itu ke tangga pertama carta UK pada 1967 dengan "Everlasting Love".
  • Rakan pemuzik dan penganjur festival merakamkan penghormatan atas sumbangan Ellis dalam dunia muzik serta impaknya kepada peminat dan industri.
Advertisement

LONDON: Penyanyi utama kumpulan Love Affair, Steve Ellis, yang terkenal menerusi lagu saduran kumpulan itu, "Everlasting Love", meninggal dunia pada usia 76 tahun, lapor PA Media/dpa.

Penyanyi kelahiran Britain itu merupakan vokalis utama kumpulan pop dan rock progresif berkenaan yang ditubuhkan pada 1966 dan berjaya menduduki tangga pertama carta lagu United Kingdom (UK) menerusi lagu “Everlasting Love” pada tahun berikutnya.

Dalam satu kenyataan yang dikongsikan menerusi akaun Facebook rasmi penyanyi itu, dimaklumkan bahawa Ellis meninggal dunia akibat komplikasi penyakit kronik.

Advertisement

Pemuzik Paul Weller, yang terkenal sebagai pemain gitar serta penyanyi utama dan penulis lagu kumpulan rock The Jam, turut merakamkan penghormatan kepada Ellis.

Dalam hantaran di Facebook, beliau menulis: "Sahabat baik kami, Stevie Ellis, meninggal dunia minggu lepas. Semoga Tuhan merahmatimu, Stevie. Selamat jalan, cinta abadi buatmu."

Advertisement

Pengumuman mengenai kematian Ellis menyatakan: "Sahabat sekalian, dengan hati yang berat, kami berkongsi berita pemergian Steve.

"Susulan komplikasi akibat penyakit kronik, Steve menghembuskan nafas terakhir dengan tenang pada malam 30 Okt 2026, di sisi insan tersayang.

Anda dialu-alukan untuk berkongsi ucapan, kenangan atau takziah buat keluarga di ruangan komen di bawah. Everlasting Love."

Pemuzik blues, Norman Beaker, turut memberikan penghormatan menerusi media sosial.

"Amat sedih menerima berita bahawa Steve Ellis, penyanyi kumpulan Love Affair yang terkenal dengan lagu popular seperti Everlasting Love dan banyak lagi,  meninggal dunia.

"Beliau seorang sahabat yang baik dan memiliki suara yang hebat. Saya baru-baru ini menyumbangkan sebuah lagu dalam album terbaharunya, iaitu satu lagu ciptaan saya, ‘She Heals My Soul’.

"Beliau merupakan legenda dalam gerakan mod dan seorang yang berperwatakan menarik. Pemergiannya pasti dirasai," katanya.

BCM Entertainments Ltd, sebuah syarikat penganjur festival yang berpangkalan di Kent, berkata Ellis "sentiasa membawa sesuatu yang istimewa dalam setiap acara kami".

Dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook, syarikat itu berkata: "Steve merupakan individu yang sering hadir dan amat disayangi dalam pelbagai acara BCM Festivals selama ini, apabila beliau menghiburkan penonton dengan suara yang luar biasa, lagu malar segar serta persembahan yang mengagumkan.

"Muziknya yang tidak dapat dilupakan menjadi sebahagian daripada kenangan ramai orang, manakala persembahannya sentiasa memberikan sesuatu yang istimewa kepada acara kami.

Bagi pihak seluruh warga BCM Festivals, kami ingin menyampaikan ucapan takziah yang tidak terhingga kepada keluarga Steve, rakan, rakan pemuzik serta semua yang berpeluang mengenali dan bekerjasama dengannya. Terima kasih atas muzik, kenangan dan detik indah yang dikongsikan bersama kami. Semoga Steve bersemadi dengan aman. Pemergiannya amat dirasai."

Ellis menubuhkan kumpulan pertamanya, Soul Survivors, ketika berusia 15 tahun. Kumpulan itu kemudiannya berkembang menjadi Love Affair, yang turut dianggotai Rex Brayley, Mick Jackson, Lynton Guest dan Maurice Bacon.

Pada awal 1967, kumpulan itu melancarkan dua single pertama mereka, termasuk "Everlasting Love", yang pada asalnya dirakamkan oleh Robert Knight dan berjaya membawa kumpulan itu menduduki tangga pertama carta single UK.

Lagu berkenaan kemudiannya turut digunakan dalam beberapa filem termasuk "Bridget Jones: The Edge of Reason" dan filem arahan Kenneth Branagh, "Belfast", yang dinyanyikan oleh pelakon Jamie Dornan.

Antara lagu Love Affair lain yang turut mendapat perhatian ialah "A Day Without Love", "Rainbow Valley" dan "Bringing On Back The Good Times".

Ellis meninggalkan kumpulan itu pada 1969 untuk meneruskan kerjaya solo, namun turut menganggotai beberapa kumpulan lain termasuk Widowmaker dan Ellis.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement