Skip to main content

Bisnes

Pelan capai sasaran KDNK RM100 bilion Sabah menjelang 2030 sedang digerakkan - Hajiji

Hajiji berkata cadangan pembangunan sumber gas di Pantai Timur Sabah turut membuka peluang baharu bagi penjanaan elektrik dan pertumbuhan industri di wilayah berkenaan. - Gambar fail/Bernama
Hajiji berkata cadangan pembangunan sumber gas di Pantai Timur Sabah turut membuka peluang baharu bagi penjanaan elektrik dan pertumbuhan industri di wilayah berkenaan. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KOTA KINABALU: Pelbagai perancangan sedang digerakkan bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah sebanyak RM100 bilion menjelang 2030 di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata fokus kini adalah untuk memastikan perancangan pembangunan industri, menarik pelaburan dan penyediaan infrastruktur dilaksanakan, termasuk menjamin bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan mampu milik.

“Apabila pelabur mempertimbangkan untuk membina kilang atau menjalankan operasi berskala besar di Sabah, mereka perlu mengetahui sama ada kita mampu menyediakan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, berapa kosnya serta bila bekalan itu dapat disediakan,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata bekalan gas Sabah berpotensi meningkat daripada kira-kira 700 juta kaki padu standard sehari kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari menjelang 2030, berdasarkan Pelan Pembekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang yang dibentangkan kepada kerajaan negeri pada September lepas.

Beliau berkata cadangan pembangunan sumber gas di Pantai Timur Sabah turut membuka peluang baharu bagi penjanaan elektrik dan pertumbuhan industri di wilayah berkenaan.

Kerajaan negeri juga mencatat kemajuan dalam memperkukuh penyertaan Sabah dalam sektor tenaga menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang dimeterai pada Dis 2021.

Beliau turut memuji prestasi kewangan SEC dan usaha syarikat itu mengembangkan operasi menerusi Agenda Transformasi Tenaga Progresif (PETA 2030), sambil menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi negeri memperkukuh kerjasama bagi mempercepat pelaksanaan projek serta mengelakkan peluang pelaburan terlepas.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement