KUALA LUMPUR: Menteri bagi Hal Ehwal Luar India, V. Muraleedharan yang dalam lawatan dua hari ke Malaysia menekankan potensi besar dalam perkembangan perdagangan dua hala antara Malaysia dan India, khususnya dalam sektor seperti kejuruteraan makanan atau 'food engineering' dan elektronik.

Muraleedharan yang tiba di sini pada Khamis, turut menggalakkan komuniti perniagaan Malaysia melibatkan diri secara aktif dalam inisiatif perdagangan dan perniagaan India.

"India adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dan banyak perkara untuk ditawarkan kepada semua. Saya menggesa komuniti perniagaan untuk meneroka peluang-peluang ini," katanya dalam ucapannya pada majlis makan tengah hari yang dianjurkan di Royal Lake Club oleh Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM) dan Majlis Perniagaan India Malaysia (MIBC) semalam.

Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri Presiden MIBC Tan Sri Kuna Sittampalam, pengerusi CIIM, Datuk Umang Sharma, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N.Reddy dan ketua-ketua industri.

Mengenai pelaburan dalam sektor pembuatan, Muraleedharan menyatakan peluang tanpa had untuk pelaburan asing termasuk infrastruktur, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, teknologi angkasa, tekstil, pertanian dan pemprosesan makanan.

Sambil menggariskan pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan India, Muraleedharan berkata bahawa perdagangan antara kedua-dua negara telah mencecah US$20 bilion, menjadikan Malaysia sebagai rakan dagang ketiga terbesar India dalam ASEAN manakala India merupakan satu daripada 10 rakan dagangan utama Malaysia.

BACA: MoU dengan Malaysia untuk pengambilan pekerja India sedang dibincangkan - Menteri India 

Sementara itu, Umang dalam ucapannya menyatakan bahawa lebih 250 syarikat India melabur melebihi US$3 bilion merentasi pelbagai sektor di Malaysia.

Pelaburan ini secara langsung telah mewujudkan peluang pekerjaan untuk lebih 30,000 rakyat Malaysia dan secara tidak langsung menyumbang kepada lebih 100,000 pekerjaan.

Selain itu, Sharma menyuarakan harapan untuk mengkaji semula Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) yang ditandatangani pada 2011 dalam masa terdekat.

Beliau percaya kajian semula ini mampu membuka potensi besar, membolehkan kedua-dua negara meningkatkan perdagangan dua hala daripada US$20 bilion kepada AS$30 bilion menjelang 2027, bertepatan dengan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan India.

-- BERNAMA