KUALA LUMPUR: Sektor utiliti dijangka mengekalkan pendapatan dan aliran tunai yang stabil sepanjang 2024, disokong oleh permintaan yang kukuh, dijamin oleh Peraturan Berasaskan Insentif dan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (IBR/ICPT), berserta perjanjian jangka panjang.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, walaupun terdapat kesan margin bahan api negatif terhadap pendapatan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam tempoh sembilan bulan 2023 (9M23), aliran tunai TNB kekal stabil, dengan jangkaan pendapatan kembali normal pada 2024 apabila harga tenaga stabil.

"Dalam jangka panjang, pendapatan TNB diunjur berkembang dengan pengembangan asas aset terkawal (RAB) dan sumbangan baharu daripada pelaburan tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu turut meramalkan Petronas Gas Bhd mencatat pendapatan mampan pada 2024, memandangkan segmen pemprosesan gas telah memperoleh perjanjian baharu dengan syarikat induk Petronas bermula 2024 hingga 2029.

Selain itu, firma tersebut menjangkakan YTL Power International Bhd mengekalkan pendapatan kukuh pada suku-suku akan datang, disokong oleh prestasi kukuh dan margin segmen runcit Singapura, sumbangan baharu daripada Jordan Attarat, kestabilan prestasi Jawa Power dan pemulihan UK Wessex berikutan penurunan tekanan inflasi.

HLIB menjangkakan kestabilan konsisten dalam dividen, dengan TNB menawarkan 55 sen sesaham, Petronas pada 72 sen sesaham dan YTL Power menyediakan pembayaran dividen yang lebih tinggi sebanyak 10 sen sesaham.

Firma berkenaan juga yakin terhadap kerajaan dalam mengekalkan komitmen mereka terhadap mekanisme RAB/ICPT bagi mengekalkan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan semasa dan akan datang.

“Kami mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor utiliti, dengan saranan 'beli' untuk YTL Power (harga sasaran [TP]: RM3.90) dan TNB (TP: RM11), dan 'pegang' untuk Petronas Gas ( TP: RM17.75)," katanya.  - DagangNews.com