Skip to main content

Malaysia

Pinjaman RM50,000 tanpa faedah untuk usahawan tani muda Sabah

KOTA KINABALU, 16 Dis -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar ketika hadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jamawi berkata Inisiatif Kebun Dapur memberi tumpuan kepada pengeluaran hasil pertanian secara lestari dengan memanfaatkan ruang di sekitar kediaman seperti halaman rumah, kawasan lapang dan penggunaan bahan terpakai. - Gambar fail/Bernama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mempergiat usaha memperkukuh keterjaminan makanan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan pertanian luar bandar yang lebih menyeluruh dan berimpak, termasuk membuka peluang kepada golongan belia menceburi sektor agromakanan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata golongan belia kini berpeluang memulakan aktiviti pertanian melalui kemudahan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 sebagai sebahagian usaha memperluas pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur.

Advertisement

Beliau berkata langkah itu bertujuan memperkasakan golongan muda sebagai pemacu baharu sektor agromakanan negeri, di samping membantu meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

“Kami telah berbincang dengan Perbadanan Pinjaman Sabah untuk penyediaan bantuan kepada anak-anak muda yang berminat dengan menyediakan pinjaman RM50,000 ke bawah tanpa faedah.

“Kami perkasakan program itu melalui program yang kami sebut sebagai Inisiatif Kebun Dapur sebagai platform utama untuk meningkatkan sosioekonomi golongan petani, penternak dan nelayan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Jamawi berkata Inisiatif Kebun Dapur memberi tumpuan kepada pengeluaran hasil pertanian secara lestari dengan memanfaatkan ruang di sekitar kediaman seperti halaman rumah, kawasan lapang dan penggunaan bahan terpakai.

Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian isi rumah, malah membuka peluang menjana pendapatan melalui penjualan lebihan hasil.

Dalam pada itu, Jamawi berkata kerajaan turut mewujudkan kira-kira 18 pusat pengumpulan hasil pertanian di seluruh Sabah bagi memudahkan penggiat Inisiatif Kebun Dapur memasarkan hasil mereka secara lebih tersusun dan efisien.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Rubin Balang ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu pula berkata cadangan pembinaan baharu Pejabat Daerah Kota Belud kini berada pada peringkat reka bentuk dengan kemajuan pelaksanaan sekitar 30 peratus.

Beliau berkata satu taklimat mengenai reka bentuk projek itu telah diadakan oleh Jabatan Kerja Raya kepada Pejabat Daerah Kota Belud pada 13 April lepas.

“Pembinaan itu dijangka dimulakan pada Januari 2027 dengan tempoh 30 bulan. Pelaksanaan projek ini dijangka siap pada Jun 2029. Untuk makluman, peruntukan siling bagi pembinaan ini adalah sebanyak RM13 juta,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib ketika menggulung berkata bagi 2026, sebanyak 20 sekolah di bawah kategori bangunan daif ‘skala 7’ melibatkan kos RM1.47 bilion sedang dilaksanakan.

Beliau berkata bagi 2025, peruntukan sebanyak RM11.55 juta telah disalurkan melibatkan 13 sekolah bangunan daif ‘skala 6’ dalam pembinaan manakala setakat 28 April 2026, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah menerima RM94.7 juta.

James berkata faktor geografi Sabah termasuk kawasan pedalaman dan kepulauan menjadi cabaran utama dari segi kos dan logistik pelaksanaan projek.

Justeru, pendekatan pembangunan dilaksanakan secara berfasa dan bersasar bagi memastikan keberkesanan serta impak optimum kepada murid dan warga sekolah.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video