Skip to main content

Malaysia

Empat agenda reformasi jadi paksi akauntabiliti negara - Azalina

81758176975_AzalinaOthmanSaid.jpg
Azalina berkata Kerajaan MADANI meletakkan empat agenda reformasi utama sebagai teras pengukuhan akauntabiliti institusi negara, iaitu pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, cadangan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat serta penubuhan Akta Ombudsman Malaysia. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI meletakkan empat agenda reformasi utama sebagai paksi kepada usaha memperkukuh akauntabiliti institusi negara dalam tempoh jangka pendek dan sederhana, selari dengan komitmen membina sistem pentadbiran yang lebih telus, adil dan berintegriti.

Empat agenda tersebut melibatkan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (AG-PP), cadangan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, serta penubuhan Akta Ombudsman Malaysia sebagai mekanisme aduan bebas dalam perkhidmatan awam.

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keempat-empat agenda itu menjadi teras utama reformasi institusi negara yang dirangka bagi memulihkan dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi awam, selain memastikan sistem tadbir urus terus berfungsi secara bertanggungjawab dan responsif.

“Keempat-empat agenda ini merupakan tunjang utama dalam usaha kerajaan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, di samping memastikan sistem pentadbiran awam kita kekal telus, adil dan berintegriti.

“Pada masa yang sama, peranan pihak berkepentingan juga adalah amat kritikal dalam memastikan agenda reformasi ini betul-betul difahami dengan jelas agar dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat di semua peringkat, sekali gus memastikan dasar yang dirangka kerajaan benar-benar responsif kepada keperluan rakyat.

“Komitmen Kerajaan MADANI dalam hal ini adalah jelas, iaitu untuk mewariskan legasi sistem perundangan dan institusi negara yang lebih kukuh, berintegriti dan adil, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina sebuah negara berakauntabiliti tinggi yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata strategi pelaksanaan reformasi berkenaan dirangka secara berperingkat, dengan penekanan kepada keberkesanan dan impak langsung kepada rakyat.

Azalina berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Sesi Townhall Status Terkini Agenda Reformasi Institusi Kerajaan MADANI Bersama Parti-Parti Politik yang berlangsung di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), di sini, hari ini.

Sesi townhall itu dianjurkan sebagai platform libat urus bagi memberi penerangan mengenai status pelaksanaan agenda reformasi undang-undang dan institusi negara yang digerakkan secara menyeluruh dan berfasa sejak Disember 2022.

Penganjuran sesi berkenaan melibatkan Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai permulaan, sebelum diperluaskan kepada parti-parti politik lain serta pihak berkepentingan termasuk pertubuhan masyarakat sivil, wakil komuniti dan pakar akademik.

Must Watch Video