KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran meragukan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.

TH dalam kenyataan memaklumkan ia susulan kes melibatkan seorang pendeposit TH yang menjadi mangsa penipuan melibatkan kerugian sehingga RM12,000 dipindahkan daripada akaun miliknya melalui lima transaksi dalam masa empat hari.

Bagaimanapun menurut TH, bagi kes berkenaan pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun mangsa bagi mengelakkan berlaku kerugian lebih besar, tiga hari sebelum mangsa membuat aduan setelah mendapati terdapat transaksi mencurigakan.

"TH juga sedang melakukan siasatan mengenai perkara ini. Mangsa juga telah membuat laporan polis dan TH akan sentiasa bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia dalam sebarang siasatan terhadap kes penipuan siber," menurut TH.

Sebelum ini media melaporkan seorang bilal sebuah masjid di Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor kerugian RM12,000 selepas wang di dalam akaun TH miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain.

Mangsa membuat laporan polis selepas menerima mesej menerusi talian penting Tabung Haji yang menyatakan terdapat pemindahan wang daripada akaunnya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh berhubung dengan THCC di talian 03-62071919.

-- BERNAMA