Pengeksport perabot Malaysia akan memperoleh manfaat jika mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan cita rasa Eropah, terutama di Jerman, yang menekankan produk dan perkhidmatan mesra alam.

Pada pameran Heimtextil yang sedang berlangsung di Frankfurt -- pameran perdagangan terbesar dunia bagi industri tekstil dan kemasan rumah -- peserta pameran dari seluruh dunia akan mempamerkan produk mesra alam.

Kumpulan dari Austria, Lenzing, pembuat produk berasaskan gentian, mengetengahkan gentian TENCEL.

Eksekutif syarikat itu Dieter Eichenger, memberitahu Bernama TENCEL di ekstrak daripada kayu dan ia menyerap keseluruhan kelembapan secara semula jadi.

TENCEL digunakan secara meluas dalam fabrik upholsteri di kebanyakan negara Barat, dan Lenzing merancang mengeksport gentian itu ke Asia tidak lama lagi, kata Eichenger.

"Kelembutan dan warnanya fabrik upholsteri yang terang sangat mengagumkan. Anda boleh duduk relaks di kerusi," kata Susanne Jary, ketua pemasaran (tekstil rumah) Lenzing.

Beliau berkata menerusi TENCEL, tahap kelembapan adalah pada paras kira-kira 13 peratus berbanding hanya satu peratus bagi poliester.

Beberapa ahli perniagaan Malaysia turut mengunjungi pameran itu.

"Kami hanya mengunjungi pameran Heimtextil disebabkan beberapa produk yang dipamerkan di sini boleh digunakan dalam pembuatan perabot kami pada masa akan datang," kata Jamaluddin Mustapa, dari Pulau Pinang.

Syarikatnya akan menyertai pameran produk perabot pada Pameran Perabot Antarabangsa di Cologne bermula minggu depan.

"Walaupun kami perlu mengkaji trend pasaran untuk pameran, Heimtextil banyak membantu kami untuk memahami situasi yang berlaku. Kami dapat banyak maklum balas di Frankfurt yang boleh diambil kira dalam pembuatan produk," kata Jamaluddin.

"Banyak produk yang dipamerkan di sini turut digunakan dalam aplikasi industri automobil, hiasan dalam dan pelbagai lagi industri," katanya.