KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 9.3 peratus kepada 30,669 tan pada November 2023 daripada 28,048 tan yang direkodkan pada November 2022, disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli negara pada November 2023 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 85.3 peratus berbanding sektor estet pada 14.7 peratus.

"Berasaskan bulanan, pengeluaran getah asli turun 6.9 peratus kepada 30,669 tan pada November 2023 daripada 32,944 tan pada Oktober 2023," katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan Malaysia November 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata jumlah stok getah asli pada November 2023 meningkat 13.2 peratus kepada 172,335 tan daripada 152,196 tan pada Oktober 2023.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 89.8 peratus diikuti kilang pengguna getah (10.1 peratus) dan estet getah (0.1 peratus), katanya.

DOSM menjelaskan menurut Malaysia Rubber Board Digest pada November 2023, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur-campur.

Secara keseluruhannya, sentimen positif disumbangkan oleh langkah rangsangan yang diumumkan oleh China dan sasaran ekonomi positif bagi 2024 walaupun kekurangan bekalan getah asli oleh pengeluar utama terutamanya oleh Thailand, tambahnya.

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 51,437 tan pada November 2023, turun 8.9 peratus daripada 56,460 tan pada Oktober 2023.

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2023 diikuti Jerman (8.9 peratus), Iran (5.7 peratus), Amerika Syarikat (4.0 peratus) dan Pakistan (2.8 peratus, menurut perangkaan.

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.01 bilion pada November 2023, meningkat 1.0 peratus daripada RM1.0 bilion pada Oktober 2023," menurut DOSM.

-- BERNAMA