Pengesahan oleh badan-badan bebas antarabangsa dan lain-lain institusi yang ternama ke atas ekonomi Malaysia menunjukkan bahawa negara ini masih berdaya tahan dan mampu mengharungi ketidaktentuan ekonomi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan, badan-badan bebas seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan institusi-institusi seperti OCBC, RHB dan CIMB telah mengesahkan kemampuan Malaysia dalam laporan bebas mereka.

Laporan Perniagaan Antarabangsa Grant Thornton (IBR) yang dikeluarkan semalam juga menyatakan bahawa Malaysia menjadi fokus bisnes yang terbanyak di ASEAN dan menjangkakan golongan pekerja swasta akan ditawarkan kenaikan gaji dalam tempoh 12 bulan.

IBR juga memberitahu upah pekerja dan beberapa petunjuk ekonomi utama yang lain seperti hasil, eksport, harga jualan, pekerjaan dan juga keuntungan dijangka naik walaupun keyakinan prospek yang agak rendah bagi tahun akan datang.

Katanya, Malaysia berada dalam kedudukan terbaik berbanding sektor perniagaan negara ASEAN yang lain khususnya dalam perkara seperti kenaikan gaji pekerja, peningkatan dalam eksport, hasil, harga jualan yang lebih tinggi, keuntungan dan pengambilan pekerja yang lebih baik.

"Ia adalah laporan yang sangat positif untuk Malaysia dalam 2017 dan kami berharap dapat mengharungi sebarang ketidaktentuan," katanya.

Menteri itu berkata masyarakat umumnya tidak sabar-sabar untuk melihat sama ada dasar ekonomi oleh presiden terbaharu Amerika Syarikat, Donald Trump akan mempunyai kesan yang ketara di Malaysia.

Terdahulu, Abdul Rahman menyaksikan pertukaran perjanjian pelaburan dan memorandum persefahaman antara A-Bio Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan milik Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dengan lapan firma tempatan.

Pengarah Urusan A-Bio, Dr Noriah Abd Rahman, berkata dengan pertukaran perjanjian itu, A-Bio berada di landasan yang betul untuk melabur sehingga RM100 juta dalam syarikat teknologi terpilih yang memiliki pertumbuhan yang tinggi dalam industri bio dan industri teknologi baru muncul.

"Pusingan pertama pelaburan A-Bio dibuat membabitkan RM50 juta sehingga 2013 yang melibatkan syarikat permulaan dalam industri berasaskan bio dan untuk pusingan kedua ini bermula 2016, kami akan melabur dalam syarikat-syarikat pertumbuhan tinggi yang ada rancangan untuk berkembang ke pasaran global," katanya.

Antara syarikat itu ialah Extra-Built (M) Sdn Bhd (syarikat Malaysia yang terlibat dalam diod pemancar cahaya), Detik Aturan Sdn Bhd (syarikat pengeluar pelet minyak sawit dan blok bahan api), Prestigous Discovery Sdn Bhd (pengeluar unit terminal kawalan jauh) dan Dream Edge Sdn Bhd (syarikat penyelesaian reka bentuk dan kejuruteraan).

Lain-lain syarikat termasuk Selia-Tek Medical Sdn Bhd (pengeluar produk farmaseutikal yang terkemuka), Cell Tissue Technology Sdn Bhd (syarikat kejuruteraan tisu yang pertama di Malaysia), OSA Technology Sdn Bhd (pengeluar peralatan perubatan) dan MPath Sdn Bhd (pembekal perkhidmatan patologi).

-- BERNAMA