Pengukuhan ringgit 'membimbangkan' rakyat Singapura

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada sekitar RM3.16 pada 9 Jan, berbanding sekitar RM3.29 pada tarikh yang sama tahun lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Satu komen santai oleh seorang ahli politik Singapura telah mencetuskan perbincangan mengenai asas ekonomi Malaysia yang semakin bertambah baik, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipuji kerana berjaya memacu pengukuhan ringgit dan menarik lonjakan pelaburan asing.
Ringkasan AI
- Komen positif ahli politik Singapura mengenai pengukuhan ringgit Malaysia oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencetuskan perbincangan tentang asas ekonomi negara yang semakin baik.
- Kadar pertukaran ringgit mengukuh kepada RM3.16 berbanding dolar Singapura pada 9 Januari.
- Malaysia menjadi destinasi pilihan syarikat global untuk pindahkan rantaian bekalan keluar dari China disebabkan stabil, institusi dipercayai, dan ekosistem semikonduktor yang mantap, merangsang pengukuhan ringgit terus berlaku.
"Kepada PM Anwar, pada pandangan saya, anda benar-benar salah seorang Perdana Menteri terbaik yang pernah dilihat Malaysia dalam tempoh yang sangat lama.
"Saya hanya ada satu permintaan kecil, sangat kecil: mungkin anda boleh lepak sekejap. Tak perlu bekerja keras sangat lah.
"Baru dua minggu lepas, SGD ke Ringgit adalah RM3.18, sekarang sudah RM3.15. Kalau terlalu kuat, nanti rakyat Singapura datang - hanya pesan roti canai kosong kemudian balik. Ramai antara kami masih sangat mementingkan bajet.
"Bertenang PM. Biar perlahan asal berterusan untuk menang perlumbaan," tulis beliau di Facebook.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada sekitar RM3.16 pada 9 Jan, berbanding sekitar RM3.29 pada tarikh yang sama tahun lepas.
Di ruangan komen, Derrick menambah bahawa pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia telah melonjak sebanyak 47 peratus.
"Kami sedang bercakap tentang berbilion ringgit yang masuk ke dalam negara ," tulis beliau.
Derric berkata syarikat global utama kini secara senyap tetapi pasti sedang memindahkan rantaian bekalan mereka secara besar-besaran keluar dari China, dengan Malaysia muncul sebagai destinasi pilihan utama.
"Ia (Malaysia) tidak semahal Singapura, namun lebih stabil dan mempunyai institusi yang lebih dipercayai berbanding Vietnam. Ditambah pula dengan ekosistem semikonduktor yang mantap, Malaysia menjadi destinasi yang sangat menarik," katanya.
Sim berkata pemerhati tidak seharusnya terkejut jika ringgit terus mengukuh berbanding dolar Singapura, dengan kemungkinan bergerak ke arah julat 3.0 atau mencatat bawah paras psikologi 3 dalam tempoh 18 bulan akan datang.
Pada masa yang sama, beliau menarik perhatian bahawa Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang melonggarkan dasar kewangan, yang memberi tekanan susut nilai tambahan kepada dolar Singapura dan meningkatkan kemungkinan pengukuhan lanjut ringgit.
Sebagai rujukan, Sim berkata seawal September tahun lepas, kadar pertukaran masih berlegar sekitar RM3.30 bagi satu dolar Singapura.
Beliau berkata bahawa kadar pertukaran mata wang tidak bersifat statik, sambil memetik contoh sejarah termasuk pada 1990-an apabila paun Sterling didagangkan pada kira-kira tiga kali ganda nilai dolar Singapura, serupa dengan situasi SGD-Ringgit sekarang.
"Kadar pertukaran tidak statik. Apabila asas ekonomi berubah, begitu juga dengan mata wang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


