Ringkasan AI
- Fir Redzuan menegaskan syarikat teknologi perlu bertanggungjawab dalam isu keselamatan digital kanak-kanak, bukan hanya membebankan ibu bapa dan kanak-kanak.
- Beliau menggesa pelaksanaan Penilaian Impak Hak Kanak-Kanak (CRIA) sebelum pelancaran ciri baharu untuk memastikan keselamatan kanak-kanak diutamakan sejak fasa reka bentuk.
- Data menunjukkan 94 peratus kanak-kanak Malaysia berumur 12 hingga 17 tahun melayari internet setiap hari, terdedah kepada ancaman buli siber dan manipulasi digital.
KUALA LUMPUR: Meletakkan beban menyelesaikan isu keselamatan digital yang kompleks semata-mata kepada ibu bapa dan kanak-kanak hanya memberi laluan mudah kepada syarikat teknologi untuk 'lepas tangan' daripada tanggungjawab mereka.
Pengasas merangkap Ketua Advokasi dan Strategi Monsters Among Us (MAU), Fir Redzuan menegaskan, komuniti pada masa ini seolah-olah dipaksa menangani masalah teknologi yang terlalu rumit, termasuk ancaman bahan penderaan seksual kanak-kanak yang dijana kecerdasan buatan (AI) serta ketagihan internet.
"Apabila kita menyalahkan atau menghukum kanak-kanak atas keganasan dalam talian yang mereka alami, syarikat teknologi sebenarnya terlepas daripada tanggungjawab. Mereka tidak didorong untuk membina platform yang selamat sejak dari reka bentuk awal (Safer by Design)," katanya.
Sehubungan itu, Fir menggesa perniagaan teknologi mengamalkan pelaksanaan Penilaian Impak Hak Kanak-Kanak (CRIA) sebelum melancarkan sebarang ciri baharu ke pasaran.
Langkah tersebut, tegasnya lagi, penting bagi memastikan hak serta keselamatan kanak-kanak dijadikan keutamaan tertinggi sejak fasa reka bentuk sistem, dan bukannya sekadar pertimbangan terkemudian.
Sebelum ini, seramai 30 wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dari seluruh negara berkumpul dalam pemukiman anjuran Monsters Among Us bersama 5Rights Foundation bagi membincangkan ancaman persekitaran digital terhadap golongan muda.
Dalam sesi libat urus susulan bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, gabungan berkenaan mengesyorkan agar prinsip keselamatan sejak peringkat reka bentuk di bawah Seksyen 18(3) Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 disokong dengan pelaksanaan CRIA.
Data taburan penggunaan internet menunjukkan 94 peratus kanak-kanak Malaysia berumur antara 12 hingga 17 tahun melayari internet setiap hari, sekali gus mendedahkan mereka kepada ancaman buli siber dan manipulasi digital sekiranya platform teknologi tidak dikawal selia dengan tegas.