KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China berkembang 30.6 peratus tahun ke tahun kepada AS$80.43 bilion (AS$1=RM4.04) pada separuh pertama 2026.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata sumbangan strategik China kekal sebagai tonggak penting kepada kekuatan ekonomi ini, dengan negara itu merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) kedua terbesar Malaysia sebanyak AS$13.0 bilion.
"Momentum kukuh ini berterusan dengan lancar hingga 2026, dengan pelaburan diluluskan dari China mencecah AS$3.7 bilion pada separuh pertama tahun ini sahaja," katanya dalam ucaptama di Mesyuarat Pemimpin Perniagaan Macao di sini hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Sim dan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Macao (SAR), Sam Hou Fai.
Sam tiba di Malaysia semalam untuk lawatan kerja selama empat hari.
Sementara itu, Sim berkata China akan terus menjadi rakan dagang terbesar Malaysia.
“Malaysia dan China berkongsi persahabatan yang kukuh dan berkekalan, berlandaskan kepercayaan bersama, nilai yang dikongsi serta kerjasama ekonomi yang erat,” katanya.
Pada 2025, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah angka yang luar biasa iaitu sebanyak US$541.55 bilion.
-- BERNAMA