KEBELAKANGAN ini, Jensen Huang, CEO NVIDIA telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang sangat menarik seperti tiada kepentingan untuk kanak-kanak mempelajari pengaturcaraan dan bagaimana komputer yang dibeli 5-10 tahun lalu sudah boleh dikira sebagai usang.

Terkini, di acara Graphics Technology Conference NVIDIA, Jensen menjawab soalan daripada pihak media berkaitan permainan-permainan komputer yang akan dihasilkan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan.

Beliau menjangkakan bahawa permainan sebegitu akan mula tiba dalam masa lima ke 10 tahun akan datang.


Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, khususnya apabila aset grafik kini sudah boleh direka menggunakan AI, dan teknologi tersebut sudah pun cukup maju di mana syarikat pembangun permainan seperti Ubisoft telah memperlihatkan watak NPC yang dibangunkan oleh AI.

Dalam industri permainan komputer dan video sekarang, AI digunakan untuk meningkatkan mutu olahan grafik, khususnya melalui Ray-Tracing dan juga Super-Sampling.

Jensen mengatakan bahawa di masa akan datang, kuasa olahan grafik ini boleh digunakan untuk mencipta kandungan serba baharu seperti apa yang dilakukan oleh perkhidmatan AI generatif seperti Stable Diffusion dan Midjourney.

Penciptaan kandungan dinamik melalui AI juga adalah sesuatu yang sedang mendapat sambutan yang baik.

Daripada teknologi deepfake, kita kini mempunyai perkhidmatan di mana sebuah video dapat dicipta daripada prom teks.

Teknologi sebegini dilihat hanya akan menjadi lebih hebat di masa akan datang, dan ia tidak mengejutkan jika sebuah permainan video dapat dicipta daripada beberapa patah perkataan sahaja. -Amanz