NEW YORK: Pelari-pelari elit Kenya melahirkan rasa kecewa dan bimbang susulan kes doping melibatkan bekas juara Maraton New York, Peres Jepchirchir yang disifatkan mampu mencalar imej negara itu dalam arena olahraga antarabangsa.
Jepchirchir digantung sementara selepas didapati positif bahan terlarang erythropoietin (EPO), sekali gus membayangi persiapan menjelang Maraton New York yang berlangsung pada Ahad.
Unit Integriti Olahraga (AIU) memaklumkan, Jepchirchir dikenakan penggantungan sementara selepas sampel yang diambil sebelum kemenangan beliau dalam Maraton Sydney didapati mengandungi EPO, sejenis bahan yang meningkatkan penghasilan sel darah merah dan prestasi atlet.
Ejen kepada atlet itu sebelum ini berkata, beliau berasa amat kecewa dengan perkara tersebut dan menegaskan mana-mana atlet yang menggunakan bahan peningkat prestasi wajar dibatalkan penyertaannya.
Juara bertahan kategori lelaki, Benson Kipruto menyifatkan kes berkenaan sebagai sesuatu yang memalukan dan memberi kesan kepada atlet lain yang bertanding secara bersih.
“Ini amat memalukan. Individu berprofil tinggi seperti itu boleh merosakkan nama atlet bukan sahaja di Kenya, malah di seluruh dunia.
“Kami datang ke sini untuk berlumba, tetapi mungkin ada pihak yang akan menganggap kami semua tidak bersih,” katanya.
Jepchirchir mencipta sejarah tersendiri dalam sukan maraton apabila menjuarai Maraton New York 2021 hanya beberapa minggu selepas memenangi pingat emas Olimpik Tokyo.
Mengulas lanjut, Kipruto menggesa ujian doping dipertingkatkan terutama menjelang siri perlumbaan utama dunia seperti World Marathon Majors, khususnya melibatkan atlet yang mempunyai rekod pencapaian cemerlang.
Beliau mencadangkan sebahagian bayaran penampilan atlet digunakan bagi membiayai program ujian doping yang lebih kerap bagi memastikan peserta benar-benar bebas daripada penggunaan bahan terlarang.
Sejak AIU ditubuhkan pada 2017, lebih 140 atlet Kenya telah dikenakan pelbagai bentuk sekatan berkaitan doping.
Kes terbaru membabitkan Jepchirchir turut dilihat mencetuskan rasa malu kepada Kenya hanya beberapa minggu selepas World Athletics mengumumkan Nairobi sebagai tuan rumah Kejohanan Olahraga Dunia 2029.
Pada Isnin, Athletics Kenya menegaskan badan itu terus berpegang kepada dasar toleransi sifar terhadap doping.
Bagaimanapun, Jepchirchir masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan serta memohon analisis sampel B bagi mengesahkan keputusan ujian tersebut.
Sementara itu, juara bertahan wanita Maraton New York, Hellen Obiri, berkata kes itu menunjukkan sistem anti-doping berfungsi dengan baik, namun enggan membuat sebarang kesimpulan sebelum keputusan sampel B diperoleh.
“Jika benar, ia akan menjadi berita yang mengejutkan dan amat buruk untuk Kenya,” katanya. - Agensi