FRANKFURT: Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde bakal melepaskan jawatannya lebih awal bagi membolehkannya bersuara secara bebas mengenai pelbagai isu penting di luar bidang dasar monetari, sekali gus menamatkan spekulasi berhubung masa depannya.
Lagarde berkata, beliau tidak lagi selesa untuk terus kekal neutral ketika berdepan pelbagai isu yang menurutnya menyaksikan "kebenaran sering diseleweng dan disalah tafsir".
Beliau akan meninggalkan ECB pada 7 Februari depan, lebih awal daripada tarikh tamat penggalnya yang dijadualkan berakhir pada Oktober 2027.
Keputusan itu diumumkan ketika Eropah berdepan ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat serta landskap politik yang semakin mencabar, khususnya di Perancis menjelang pilihan raya presiden negara itu.
Dalam sidang media selepas mesyuarat dasar monetari ECB pada Khamis, Lagarde menjelaskan, tuntutan neutraliti yang diwajibkan ke atas jawatannya menyebabkan beliau tidak dapat menyuarakan pendirian mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada Eropah dan dunia.
“Saya tidak fikir saya boleh terus kekal neutral.
“Saya juga tidak fikir saya selesa dengan neutraliti pada waktu ini. Saya berminat untuk mempertahankan kebenaran, namun saya melihat kebenaran sering dirosakkan dan disanggah melalui gambaran yang tidak tepat,” katanya.
Pengumuman itu dibuat sejurus selepas ECB mengekalkan kadar faedah semasa, namun memberi isyarat bahawa tekanan inflasi masih menjadi kebimbangan susulan kos tenaga yang kekal tinggi.
Menurut sumber yang menghadiri mesyuarat dua hari ECB, Lagarde beberapa kali dilihat sebak ketika membacakan mesej peletakan jawatannya kepada rakan-rakan sekerja selepas mesyuarat berakhir.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan isu khusus yang mahu diketengahkannya selepas meninggalkan ECB dan enggan mengulas sama ada keputusan itu dibuat bagi membolehkan penggantinya dipilih sebelum pilihan raya presiden Perancis tahun depan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang bakal memainkan peranan penting dalam proses pemilihan ketua ECB baharu merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Lagarde dan menggesa proses peralihan kuasa dilaksanakan secara teratur bersama negara-negara Kesatuan Eropah (EU).
“Peralihan kepimpinan ECB perlu disediakan secara terancang dan seimbang dengan kerjasama rakan-rakan Eropah,” katanya.
Langkah Lagarde itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada parti National Rally pimpinan Marine Le Pen.
Wakil parti berkenaan, Jean-Philippe Tanguy menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi dan proses demokrasi.
Le Pen sebelum ini beberapa kali mengkritik dasar ECB dan menyatakan hasrat untuk mengkaji semula peranan institusi itu sekiranya beliau dipilih sebagai Presiden Perancis.
Sementara itu, Ahli Parlimen Eropah dari Jerman, Markus Ferber berkata, pengunduran awal Lagarde menghantar isyarat yang kurang sesuai ketika Eropah masih berdepan inflasi tinggi, pasaran bon yang tidak menentu dan beberapa pilihan raya penting dalam tempoh terdekat.
Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang persepsi mengaitkan peletakan jawatan itu dengan pertimbangan politik domestik boleh menjejaskan kepercayaan terhadap ECB sebagai institusi bebas.
Susulan pengumuman tersebut, Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, memaklumkan, proses pemilihan pengganti Lagarde akan dimulakan serta-merta.
Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon utama ialah bekas Gabenor Bank Pusat Belanda, Klaas Knot dan bekas Gabenor Bank Pusat Sepanyol, Pablo Hernandez de Cos.
Penganalisis bagaimanapun berpendapat, pasaran kewangan tidak akan terlalu terkesan dengan perubahan kepimpinan itu kerana ECB kini dianggap sebagai institusi yang kukuh dan mempunyai kredibiliti tersendiri, tanpa bergantung kepada mana-mana individu.
Spekulasi mengenai pengunduran awal Lagarde telah berlegar sejak beberapa bulan lalu, dengan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dilaporkan antara destinasi yang berpotensi menjadi langkah seterusnya dalam kerjayanya.
WEF bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu. - Agensi