Permintaan untuk pekerja baharu masih positif dalam kalangan syarikat di Malaysia biarpun pasaran pekerjaan yang lemah, kata portal pekerjaan, Jobstreet.com.

Pengurusnya di Malaysia, Chook Yuh Yng berkata berdasarkan kajian yang dilakukan portal itu bulan lepas, 54 peratus daripada syarikat di semua sektor masih mempunyai hasrat yang kuat untuk mengambil pekerja baharu bagi mengisi jawatan yang mempunyai peranan penting.

"Tambahan pula, kira-kira 12 peratus majikan akan mengekalkan kadar pengambilan pekerja mereka sementara 18 peratus majikan yang di dalam kajian menyatakan akan meningkatkan pengambilan pekerja baharu tahun ini, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Latihan dan Kerjaya 2017 edisi ke-19 portal itu di sini pada Jumaat.

Malah kata Chook dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, portal itu menyenaraikan 20,000 tawaran pekerjaan setiap hari menghubungkan lebih 3.4 juta calon dengan lebih 80,000 majikan.

"Daripada kajian itu, kami mendapati 70 peratus daripada responden berhati-hati dalam pasaran ini antaranya kerana nilai ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika dan inflasi," kata Chook.

Beliau berkata, industri yang paling atas dalam mengambil pekerja tahun ini ialah teknologi maklumat, pendidikan dan perkilangan.

Kajian yang melibatkan kira-kira 2,500 majikan dan lebih daripada 1,000 calon dilaksanakan pada Disember lepas.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 100 majikan tempatan menyertai pameran selama tiga hari di Pusat Pameran Mid Valley bermula hari ini.

"Kami berharap dapat menarik lebih 100,000 pencari kerja pada pameran ini tahun ini berbanding 91,000 tahun lepas," katanya. -- Bernama