KUALA LUMPUR: Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global dijangka perlahan kepada 2.7 peratus pada 2026 dan 2.8 peratus pada 2027, susut daripada tiga peratus pada 2025, demikian menurut Moody’s Analytics.
Firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan menyatakan Amerika Syarikat dijangka mencatatkan pertumbuhan atas sedikit daripada dua peratus, manakala China dan ekonomi utama global lain juga dijangka mengalami kelembapan.
“Unjuran asas kami mengandaikan inflasi meningkat secara sederhana dan bank pusat hanya akan mengetatkan sedikit lagi dasar monetarinya.
“Dalam keadaan ini, KDNK global dijangka berkembang sebanyak 2.7 peratus pada 2026 dan 2.8 peratus pada 2027, yang sedikit perlahan berbanding tiga peratus pada 2025 serta sasaran melebihi tiga peratus yang berpotensi dicapai oleh ekonomi global,” katanya.
Moody’s Analytics turut menyatakan bahawa prospek ekonomi global kekal tidak menentu seperti sebelumnya, dengan risiko cenderung ke arah penurunan.
Menurutnya, dagangan dalam pasaran kewangan tidak menentu apabila ketidakpastian dasar menimbulkan keraguan terhadap masa depan lonjakan AI serta penilaian harga aset tinggi yang disokong olehnya.
“Ketegangan yang tercetus semula di Asia Barat atau sekatan baharu terhadap laluan perkapalan komoditi utama akan menambahkan tekanan, apabila harga minyak yang lebih tinggi serta inflasi memaksa bank pusat menghadapi pilihan sukar yang lebih rumit.
“Ketidakseimbangan global yang besar boleh terus meningkatkan lagi ketegangan perdagangan serta menyebabkan inflasi yang lebih tinggi. Ekonomi global telah menunjukkan daya tahan namun ia perlu tumbuh lebih kukuh lagi,” katanya.
-- BERNAMA