Skip to main content

Malaysia

PAC gesa MOF, MOT pastikan laporan kewangan MAHB diterbitkan secara berkala

Mas Ermieyati berkata status penyahsenaraian MAHB daripada Bursa Malaysia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan ketelusan kepada orang awam. - Gambar fail/Bernama
Mas Ermieyati berkata status penyahsenaraian MAHB daripada Bursa Malaysia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan ketelusan kepada orang awam. - Gambar fail/Bernama

Ringkasan AI

  • PAC menggesa MOF dan MOT memastikan laporan kewangan MAHB diterbitkan berkala, terutama bagi projek keutamaan tinggi seperti aerotrain dan pembesaran lapangan terbang.
  • PAC menegaskan semua 39 lapangan terbang awam kekal sebagai aset strategik kerajaan dengan kawalan majoriti oleh GLIC dan pegangan Saham Khas oleh MKD.
  • PAC mengesyorkan pemilihan kontraktor lebih tegas serta pengenaan penalti kewangan di bawah QoS CAAM bagi mengelak kegagalan kemudahan asas berulang.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) memastikan laporan kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diterbitkan secara berkala, khususnya berkaitan projek berkeutamaan tinggi seperti aerotrain, sistem pengendalian bagasi dan pembesaran lapangan terbang.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata status penyahsenaraian MAHB daripada Bursa Malaysia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan ketelusan kepada orang awam.

“Tuntutan ini adalah selari dengan hasrat penggubalan Rang Undang-undang Entiti Milik Kerajaan dan Akta Perolehan Kerajaan sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2027,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan Penyata Tindakan Susulan Pengurusan Lapangan Terbang Awam di Dewan Rakyat hari ini.

Advertisement

Mas Ermieyati berkata perkara itu merupakan antara empat ketetapan utama PAC terhadap maklum balas MOF, MOT dan MAHB bagi memastikan pengurusan aset strategik negara beroperasi pada tahap optimum.

Selain itu, jawatankuasa itu turut menolak pendekatan pengurusan bersifat reaktif dan budaya kerja secara 'silo' dalam kalangan kementerian, agensi serta pihak berkepentingan.

Advertisement

Sebaliknya, perancangan jangka panjang lapangan terbang perlu mengambil kira input operasi daripada syarikat penerbangan teras seperti Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia dan Batik Air, termasuk aspek operasi bawah sayap (below-wing operations).

Beliau berkata PAC turut menegaskan bahawa kesemua 39 lapangan terbang awam kekal sebagai aset strategik milik kerajaan di bawah Perjanjian Operasi (OA).

Katanya, kawalan strategik majoriti sekurang-kurangnya 70 peratus oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pegangan Saham Khas (Golden Share) oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) perlu dipertahankan sepenuhnya.

“Sebarang cadangan perubahan struktur pemilikan yang melibatkan kepentingan strategik negara wajib mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan dilaksanakan secara telus,” katanya.

Mas Ermieyati berkata PAC turut mengesyorkan langkah tegas dalam proses pemilihan kontraktor bagi memastikan kegagalan kemudahan asas tidak berulang.

PAC juga mengesyorkan langkah pengenaan penalti kewangan yang tegas di bawah Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement