Ringkasan AI
- Premium tanah bagi pembaharuan pajakan KLSCAH ditetapkan pada kadar nominal RM1,000 selepas status tanah ditukar daripada komersial kepada institusi.
- Keputusan pengurangan premium dibuat untuk memelihara bangunan warisan, berbanding anggaran premium asal sekitar RM4.67 juta.
- Hannah Yeoh turut menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap kegiatan pelacuran di Bukit Bintang, termasuk penggunaan kamera badan oleh pihak berkuasa.
KUALA LUMPUR: Penetapan premium tanah pada kadar nominal RM1,000 bagi pembaharuan pajakan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mengambil kira perubahan status tanah bangunan itu daripada komersial kepada institusi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata perubahan status itu bermakna tanah berkenaan tidak boleh lagi dibangunkan untuk tujuan komersial seperti pembinaan kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya dikekalkan bagi kegunaan institusi dan pemeliharaan bangunan warisan.
Beliau berkata pertimbangan tersebut menjadi asas pada keputusan jawatankuasa penilaian untuk meluluskan pengurangan premium tanah berkenaan kepada RM1,000 daripada anggaran asal kira-kira RM4.67 juta.
“Mereka (pihak pengurusan KLSCAH) telah memohon pengurangan premium kerana bangunan itu merupakan bangunan warisan yang mempunyai sejarah panjang. Paling penting, status tanah telah ditukar daripada komersial kepada institusi.
“Apabila status tanah ditukar, nilainya tidak lagi sama seperti tanah komersial kerana tidak boleh dibangunkan untuk kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya kekal sebagai bangunan warisan institusi.
“Atas dasar itu, jawatankuasa yang menilai permohonan bersetuju mengurangkan premium kepada RM1,000,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan di Menara Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini, hari ini.
Beliau mengulas langkah kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah selama 99 tahun kepada KLSCAH dengan premium nominal RM1,000, berbanding anggaran premium terdahulu kira-kira RM4.67 juta, sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak.
Hannah sebelum ini memaklumkan kelulusan itu diberikan susulan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan pertimbangan khas terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah berkenaan selepas beliau mengunjungi premis itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Feb lepas.
Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan kemudian meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah itu bagi kegunaan institusi pada 14 Sept, dengan tempoh pajakan hingga 99 tahun.
Menurut surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Okt, premium tanah ditetapkan pada RM1,000 manakala jumlah keseluruhan yang perlu dibayar berdasarkan notis tanah rasmi ialah RM5,011 termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran, dengan kadar sewa tanah tahunan ditetapkan sebanyak RM3,151.
Berhubung isu pelacuran warga Afrika yang semakin berleluasa di kawasan Bukit Bintang, di sini, Hannah berkata Malaysia tidak kekurangan undang-undang untuk menangani kegiatan itu.
“Bukit Bintang memang tumpuan pelancong. Jadi ini menjejaskan imej negara kalau kita tidak ambil tindakan,” katanya sambil menambah beliau telah meminta pihak penguat kuasa supaya meningkatkan kehadiran di lapangan.
“Malah operasi penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini turut dilengkapi kamera badan bagi melindungi pengadu serta pegawai yang menjalankan tugas,” katanya.
Hannah berkata premis yang didapati terbabit dalam kegiatan pelacuran boleh dikenakan tindakan termasuk pembatalan lesen dan saman.
-- BERNAMA