KUALA LUMPUR: Peruntukan belanjawan bagi 11 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa pada minggu keenam mesyuarat Dewan Rakyat.

Ia melibatkan Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan.

Selain itu ialah, Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dewan Rakyat turut meluluskan usul penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Parlimen ke-15 baharu yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ia melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi; Kesihatan; Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.

Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat; Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; Keselamatan; Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Kesemua jawatankuasa pilihan khas itu berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang dalam pentadbiran kementerian.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul memaklumkan sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-15 diawalkan kepada 22 Mei hingga 15 Jun ini, berbanding jadual asal pada 12-27 Jun.

Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis telah bersetuju dengan pindaan itu selaras dengan Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Johari berkata ia susulan permintaan beliau kepada Perdana Menteri berikutan ramai Ahli Dewan Rakyat akan menunaikan ibadah haji ke Makkah pada tahun ini yang memerlukan persiapan sewajarnya.

-- BERNAMA