Skip to main content

Bisnes

Peruntukan SJPP RM5 bilion, kelonggaran e-Invois PMKS lebih baik daripada moratorium pukal - Samenta

61646739256_SAMENTA.jpg
William berkata Samenta turut mencadangkan sebahagian jaminan SJPP dikhususkan untuk PMKS beralih kepada tenaga boleh baharu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pemberian peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dengan liputan dipertingkat kepada 80 peratus serta kelonggaran transisi e-Invois selama 12 bulan disifatkan lebih baik berbanding pemberian moratorium pinjaman secara pukal.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Datuk William Ng berkata pemberian moratorium pinjaman secara pukal akan memanjangkan tempoh pinjaman dan jumlah bayaran faedah bagi perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Advertisement

Beliau berkata tindakan pantas Kerajaan MADANI berdasarkan maklum balas terus pemain industri termasuk Samenta itu, dapat memastikan kelangsungan ekosistem perniagaan tempatan susulan krisis tenaga global.

“Kami juga menyokong kerjasama antara SJPP dan bank untuk memudahcara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman secara bersasar bagi membantu aliran tunai perniagaan.

“Kami mencadangkan agar kerajaan memperkukuh daya tahan PMKS dengan memberi tumpuan kepada peralihan tenaga dan ekonomi kitaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, William berkata Samenta turut mencadangkan sebahagian jaminan SJPP dikhususkan untuk PMKS beralih kepada tenaga boleh baharu.

Beliau berkata ini termasuk pembiayaan kadar rendah untuk sistem solar fotovoltaik dan mesin cekap tenaga bagi mengurangkan kos overhed secara kekal dan mengurangkan kebergantungan kepada harga bahan api global.

“Bagi menangani kekurangan bahan mentah akibat gangguan rantaian bekalan, kerajaan harus menyediakan insentif cukai bagi PMKS yang mengguna pakai model ekonomi kitaran, termasuk geran teknologi 'waste-to-wealth,' inisiatif kitar semula dan platform perkongsian sumber bagi mengurangkan kebergantungan kepada import petrokimia dan keluli,” katanya.

Dalam masa sama, Samenta turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan itu sampai kepada PMKS yang paling memerlukan.

Pemberian peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, sebagai langkah segera bagi meringankan tekanan perniagaan PMKS susulan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat.

Selain itu, kerajaan melaksanakan pelonggaran e-invois dengan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Dis 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan tanpa penalti dalam tempoh itu.

Kerajaan antara lain turut mempertimbangkan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport akibat gangguan konflik sehingga 31 Disember ini.

-- BERNAMA 

Must Watch Video