IPOH: Seorang lelaki warga asing ditemukan lemas ketika mandi di kawasan air terjun di Waterfall Up String Greeneries Memorial Park, dekat Taman Saga, Taiping, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa warga Myammar berusia lingkungan 30-an, dipercayai lemas semasa mandi bersama empat orang rakannya di kawasan air terjun berkenaan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.01 pagi sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, bergegas ke lokasi kejadian sejauh tujuh kilometer.
“Anggota bomba berjaya menemukan mangsa yang timbul di permukaan air setelah membuat pencarian di dasar kawasan air terjun dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.
-- BERNAMA