KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian dan mini kasino yang beroperasi di sebuah unit residensi mewah di Bukit Jalil, di sini, menerusi serbuan Op Noda/Dadu pada Sabtu lepas, dengan penahanan 15 individu termasuk seorang wanita warga Vietnam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Lim Chun How berkata serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 13 Jun itu berjaya menahan 12 lelaki warga tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, berusia antara 21 hingga 44 tahun.
Beliau berkata polis turut merampas pelbagai peralatan perjudian termasuk sebuah meja kasino ‘Texas Holdem’, ratusan cip judi serta daun terup, wang tunai berjumlah RM4,904, sebuah komputer riba serta sistem audio karaoke.
“Selain itu, turut dijumpai dan dirampas empat paket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain dengan anggaran berat 10.11 gram.
“Hasil semakan juga mendapati salah seorang suspek merupakan individu yang dikehendaki berkaitan kes dadah di Pulau Tikus, Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chun How berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan) 1992, Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis menahan sepasang kekasih warga tempatan berusia 21 tahun di Sepang, bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang bayi lelaki di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini.
Chun How berkata pada Selasa lepas, pihak polis menerima maklumat daripada pengurusan TBS mengenai penemuan seorang bayi baru dilahirkan dalam sebuah beg plastik biru di tandas wanita di Aras 3 terminal berkenaan.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja mengaku terlibat dalam kejadian itu.
“Siasatan mendapati suspek wanita dipercayai melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas sebelum membuangnya ke dalam tong sampah kerana takut dimarahi keluarga. Pasangan terbabit kini direman selama empat hari bermula Sabtu lepas hingga esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.
-- BERNAMA