KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) mencatatkan keuntungan bersih untuk suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2021 sebanyak RM191.1 juta daripada kerugian sebanyak RM29.4 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatan susut kepada RM5.10 bilion daripada RM6.55 bilion pada suku yang sama tahun lepas kerana jumlah yang lebih rendah terkesan akibat krisis pandemik COVID-19 yang berpanjangan selain daripada pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Osman Rani berkata syarikat itu telah memulakan strategi bagi berdaya tahan untuk kekal meraih keuntungan.

"Strategi pertumbuhan kami adalah berkaitan dengan digitalisasi operasi kami dan mempelbagaikan portfolio produk kami untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berubah-ubah dengan memanfaatkan produk bahan bakar terbaik kami dan penawaran bukan bahan bakar.

"Usaha berdaya tahan untuk masa depan ini telah menyokong prestasi PDB setakat ini dan kami akan terus berinovatif dalam mempelbagaikan aliran pendapatan kami," katanya.

Azrul berkata trend kenaikan Brent pada suku pertama 2021 dan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan memberi prospek positif untuk pemulihan perniagaan, PDB akan kekal berhati-hati dengan perbelanjaannya.

"Kami akan melabur secara strategik dan mengutamakan bidang pertumbuhan utama yang selaras dengan strategi berdaya tahan bagi masa depan kami," katanya.

Menurut PDB, perniagaan runcit telah mempercepatkan segmen bukan bahan bakarnya melalui pengembangan gerai Makan @ Mesra di Kedai Mesra dan akan terus melakukan pelaburan untuk menaik taraf stesen minyak dan meningkatkan produk serta perkhidmatannya bagi mendorong lebih banyak pelanggan ke stesennya.

"Sejak pelancaran bahan bakar baharu pada bulan Disember, perniagaan telah menyaksikan pertumbuhan sekitar enam peratus dalam segmen petrol RON97 pada suku pertama 2021 berbanding suku yang sama tahun lalu walaupun permintaan untuk petrol lebih rendah pada suku tersebut disebabkan oleh sekatan perjalanan berbanding tahun sebelum itu," katanya.

PDB juga berkata perniagaan gas petroleum cecair dan komersial telah menerapkan strategi pertumbuhan yang efektif dan terus meningkatkan pengalaman pelanggan.

"Perniagaan minyak pelincir difokuskan kepada memberikan nilai dan pengalaman pelanggan yang berbeza dalam pasaran yang mencabar ketika ini termasuk memanfaatkan rangkaian bengkel Petronas AutoExpert," katanya.

Sementara itu, PDB juga telah mengumumkan dividen interim sebanyak 14 sen sesaham biasa untuk suku yang berakhir pada 31 Mac, 2021.

Harga saham PDB naik dua sen kepada RM18.82 di Bursa Malaysia pada Selasa.