BUSINESS
Petronas labur RM25 bilion di Sarawak pada 2024 - Timbalan Premier

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak sebelum membentangkan ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah melabur sebanyak RM25 bilion di Sarawak tahun lepas, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Ringkasan AI
- Petronas telah melabur RM25 bilion di Sarawak pada tahun lepas, termasuk sembilan penemuan hidrokarbon dan dua pengeluaran utama di medan Kasawari dan Jerun.
- Sarawak mengiktiraf gas asli sebagai bahan api peralihan dan komited terhadap pembangunan bertanggungjawab melalui Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), yang memanfaatkan lebih 60% rizab gas Malaysia.
- Projek infrastruktur tenaga sedang berjalan, termasuk saluran gas bandar bernilai RM100 juta di Bintulu dan saluran paip gas Samalaju bernilai RM1 bilion, yang dijangka siap menjelang akhir 2025.
"Petronas mempergiat penerokaan sempadan melalui pengayaan data dan perkongsian strategik untuk pemprosesan seismik, memperkukuh peranan Sarawak dalam sektor tenaga Malaysia, menyokong keselamatan tenaga jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi," katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Sementara itu, Awang Tengah berkata Sarawak mengiktiraf gas asli sebagai bahan api peralihan yang penting dalam perjalanan global ke arah pelepasan karbon sifar bersih dan negeri ini komited terhadap pembangunan bertanggungjawab.
Beliau berkata Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) memanfaatkan sumber gas asli Sarawak yang banyak, membentuk lebih 60 peratus rizab Malaysia untuk memacu perindustrian, meningkatkan keselamatan tenaga dan menarik pelaburan mampan.
"Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, saluran gas bandar bernilai RM100 juta di Bintulu akan memperluaskan akses tenaga bersih dan mampu milik untuk kediaman dan perniagaan. Projek itu akan dilaksanakan tidak lama lagi.
"Sementara itu, saluran paip gas Samalaju bernilai RM1 bilion akan mengangkut 300 mmscf sehari gas dari Bintulu ke Taman Perindustrian Samalaju (SIP). Pemasangan saluran paip gas ini dijangka siap menjelang akhir 2025," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami