Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di ASEAN perlu ada hala tuju yang tersendiri.

Beliau berkata, perkara itu menjadi pra-syarat untuk PKS kekal utuh dalam ekonomi global masa kini.

"Keadaan ekonomi global semasa yang kompleks menjadikan pentingnya sektor PKS di ASEAN membangunkan kemampuan, yang membolehkan mereka memberi respon segera kepada ketidaktentuan ekonomi luaran.

"Ini menuntut sektor PKS untuk mewujudkan hala tuju mereka yang tersendiri," katanya semasa berucap merasmikan Perniagaan Pavilion PKS sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-11 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Jelas Ahmad Zahid penyusutan nilai mata wang serantau memberi kesan kepada pengguna dan sentimen perniagaan, sekali gus memberi impak kepada PKS.

"Tahun 2015 menjadi tahun yang mencabar bagi sektor PKS di Asia Tenggara. Pada satu sudut, pemain industri PKS telah melalui prospek pertumbuhan melalui agenda Komuniti Ekonomi ASEAN. Pada satu sudut lagi, mereka perlu perlu menempuh kejutan daripada rantai ekonomi luar," katanya.

Beliau melihat antara hala tuju yang berkesan ialah memasuki pasaran antarabangsa termasuk melalui pelaburan dan inovasi.

"Pengantarabangsaan adalah baik untuk perniagaan, saya juga peka dengan pelbagai cabaran yang dihadapi PKS untuk memasuki pasaran antarabangsa.

"Selain akses kepada dana, antara halangan untuk mengantarabangsakan PKS ialah pasaran baru dan perniagaan asing," ujar beliau.

Tambahnya masa depan ASEAN banyak bergantung kepada produktiviti PKS di rantau itu.

"Saya berharap Perniagaan Pavilion anjuran WIEF ini akan membantu dan memberi sumbangan kepada pertumbuhan PKS dan membolehkan peserta mendapat faedah dan peluang dalam skala ekonomi," kata beliau.

Pavilion Perniagaan PKS diperkenalkan untuk berfungsi sebagai platform bagi komuniti perniagaan pks untuk mempromosikan syarikat mereka, mencari pelaburan dan peluang perkongsian.

Ia akan memberikan pandangan yang berguna dan bantuan teknikal untuk menyokong pks ke arah integrasi ASEAN.