Skip to main content

Bisnes

PNB lancar sukuk boleh tukar bercagar kedua bernilai AS$300 juta

[TB]_PNB_BERNAMA
Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan sukuk boleh tukar bercagar kedua bernilai AS$300 juta kedua untuk mengoptimumkan portfolionya menerusi penyelesaian pasaran modal yang inovatif.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan sukuk boleh tukar bercagar kedua bernilai AS$300 juta kedua untuk mengoptimumkan portfolionya menerusi penyelesaian pasaran modal yang inovatif.

PNB yang juga antara syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia menawarkan terbitan sulung sukuk boleh tukar bercagar bernilai AS$300 juta pada Januari 2026.

Menurut PNB dalam kenyataan hari ini, hasil terbitan berkenaan akan digunakan untuk pelaburan dalam aset sukuk global berdenominasi dolar AS.

“Transaksi ini membolehkan PNB mengekalkan pegangan ekuiti awam domestiknya yang signifikan sambil mengguna pakai pendekatan inovatif untuk memperoleh hasil dalam mata wang asing bagi tujuan pelaburan dalam aset sukuk global berdenominasi dolar AS.

“Langkah ini sekali gus meningkatkan kepelbagaian portfolio serta kecekapan modal,” menurut kenyataan itu.

Menurut PNB, sukuk boleh tukar ini boleh ditukar kepada saham biasa SD Guthrie Bhd (saham asas), pengeluar minyak sawit bersepadu terbesar Malaysia dan peneraju global dalam minyak sawit mampan.

“Sukuk boleh tukar ini mempunyai tempoh matang lima tahun, dengan pilihan jual kepada pelabur yang boleh dilaksanakan pada akhir tahun ketiga,” menurutnya.

PNB memaklumkan, kualiti kredit sukuk boleh tukar ini disokong oleh pengaturan cagaran yang memihak kepada pemegang sukuk, yang terdiri daripada saham asas serta aset sukuk global berdenominasi dolar AS.

Menurutnya, sukuk itu telah mendapat sambutan positif daripada pelabur instrumen berkaitan ekuiti dari Asia dan Eropah sekali gus membolehkannya diterbitkan pada kadar keuntungan menarik sebanyak 1.5 peratus dengan premium pertukaran 10 peratus.

“Tawaran ini dijangka terus memperkukuh pasaran instrumen boleh tukar berkaitan Malaysia serta menyokong pembangunan berterusan pasaran sukuk domestik dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pembiayaan patuh Syariah,” menurut PNB.

Menurutnya, tawaran ini akan dilaksanakan menerusi Mekar Capital II Ltd, syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Labuan sebagai penerbit, dengan Mekar Capital I Ltd bertindak sebagai obligor bagi transaksi itu.

BNP PARIBAS, JP Morgan dan Maybank bertindak sebagai pengurus utama bersama dan pengurus buku bersama bagi transaksi ini manakala Maybank Islamic sebagai penasihat syariah bagi transaksi itu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, PNB akan terus memperluas portfolio pelaburannya merentasi pelbagai geografi dan kelas aset, termasuk sukuk global bagi memastikan pulangannya disokong pelbagai sumber dan tidak bergantung kepada satu pasaran sahaja.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement