Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Nahas helikopter Ulu Baram: KKM tunggu rekod penyelenggaraan pesawat

KUCHING, 8 Sept - Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching hari ini. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang. Helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi penerbangan Flying Doctor Service ketika kejadian. - fotoBERNAMA (2026) HA
Helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching, pada Rabu. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu maklumat terperinci berhubung sejarah penyelenggaraan helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Ulu Baram, Sarawak pada Selasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, telah meminta pasukannya mendapatkan rekod penyelenggaraan helikopter terbabit daripada syarikat pengendali.

"Kita tak ada maklumat tersebut. Kita tak ada maklumat, tapi pastinya kita akan dapat perkara itu. Telah pun sebenarnya pasukan saya lebih awal lagi (meminta rekod itu)... mereka belum kembali dengan maklumat itu.

"Saya telah bertanya kepada pasukan dan mereka akan berikan semua sejarah maintenance kerana perkara itu memang dibuat secara berkala dan kita tidak berkompromi," katanya pada sidang media khas berhubung nahas helikopter FDS, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab.

Dr Dzulkefly menambah, perkhidmatan FDS dilaksanakan menerusi kontrak dengan syarikat pengendali, memandangkan KKM tidak mempunyai aset helikopter sendiri bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata aspek keselamatan dan standard operasi kekal menjadi keutamaan KKM dalam penggunaan perkhidmatan udara berkenaan.

"Perkhidmatan FDS yang bermula sejak tahun 70-an lagi sentiasa kita kontrakkan kepada pihak luar. Kita sendiri tidak mempunyai aset helikopter, atas pertimbangan dari sudut penyelenggaraan dan sebagainya.

"Jadi, setakat ini kita memang tidak mempunyai aset helikopter sendiri. Berbanding dengan bot, klinik bergerak dan aset-aset lain, kita memang ada, tetapi bukan helikopter. Helikopter sentiasa menggunakan pendekatan sewaan," katanya.

Pada Selasa, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Lima mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afriq; pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.
 

Must Watch Video

Advertisement