KUALA LUMPUR: Kebenaran penerbangan helikopter yang membawa petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak tertakluk kepada kelulusan agensi berkaitan dan bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab berkata, setiap penerbangan sama ada menggunakan helikopter atau kapal terbang, perlu mematuhi prosedur keselamatan tertentu sebelum kebenaran diberikan.
"Sebarang aspek penerbangan sama ada helikopter ataupun kapal terbang dan sebagainya, prosedur-prosedur tertentu daripada aspek keselamatan perlu dipatuhi. Dan barulah mereka diberikan kebenaran untuk terbang.
"Sama ada kebenaran untuk terbang atau tidak, itu tertakluk kepada kelulusan daripada agensi-agensi berkenaan, bukan di pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam sidang media khas berhubung insiden helikopter, di sini pada Rabu.
Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status kebenaran penerbangan helikopter terbabit, susulan pihak berkuasa pada Selasa memaklumkan pasukan penyelamat tidak dapat meneruskan penerbangan ke lokasi kejadian akibat keadaan jerebu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathar menambah dalam kejadian berkenaan, penerbangan helikopter terbabit telah dilaksanakan.
Namun, ujarnya sebarang maklumat lanjut mengenai aspek kebenaran penerbangan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.
"Dalam kes semalam (penerbangan FDS), kebenaran tersebut... penerbangan telah berlaku. Tapi untuk maklumat lanjut berkaitan dengan pertanyaan tadi, saya mohon pihak berkuasa yang berkaitan menjawab soalan tersebut," ujarnya.
Pada Selasa, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, perkhidmatan udara menggunakan helikopter bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dilakukan kerana cuaca berjerebu.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan terdahulu memaklumkan helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Sementara itu, Dr Dzulkefly pula dilapor berkata, helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Media melaporkan lima mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afriq; pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian itu di bawah Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.