KUALA LUMPUR: Jumlah pelaburan yang diluluskan di Malaysia untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu sebanyak RM235 bilion, lebih tinggi daripada purata pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sama untuk 10 tahun lepas. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut juga 6.6 peratus lebih berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2022.

Beliau berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023, sebanyak 90,000 peluang pekerjaan tercipta, manakala nisbah antara pelaburan langsung asing, dan pelaburan langsung tempatan (FDI:DDI) adalah 56:44.

“Saya harap kita dapat mencapai sasaran supaya pelaburan terus meningkat, berbanding FDI dunia yang berada pada negatif.

“Dan keutamaan kita pada pada 2024, MITI akan beri fokus keutamaan daripada segi pelaburan, antara sasaran kita nak percepatkan proses pelaburan, dan untuk mencapai daripada segi sasaran untuk ekonomi digital yang bernilai RM130 bilion, dan juga nak lengkapkan rasionalisasi agensi berkaitan,” katanya lagi.

Zafrul berkata demikian kepada sidang media sempena sesi pembentangan Kad Laporan 2023 MITI, bertemakan ‘Driving Transformation, Powering Growth’ di Menara MITI, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MITI menyasarkan peningkatan pelaburan sebanyak 5 peratus bagi 2024, biarpun unjuran Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) menunjukkan trend penguncupan susulan konflik beberapa negara serta gangguan rantaian bekalan.

Tambahnya lagi, MITI akan cuba mempelbagai destinasi pasaran baharu bagi eksport Malaysia, khususnya negara-negara di Timur Tengah, Afrika, dan Amerika Selatan.

Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangan semasa Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia – Kesatuan Eropah (MEUFTA), Zafrul berkata ketika ini Malaysia sedang mengadakan bengkel bersama pihak EU untuk membuat aktiviti ‘scoping’.

Untuk rekod, ‘scoping’ merupakan satu proses penentuan jurang dalam kedudukan dan pendirian dua pihak terlibat, yang akan menyediakan panduan untuk memastikan sebarang rundingan akan mengambil kira kos dan keuntungan kepada negara terbabit.