Skip to main content

Malaysia

Jangan bertindak luar batas soal isu rumah ibadat - Anwar

KUALA LUMPUR, 11 Feb -- Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar Ibrahim memberi amaran kepada semua pihak agar tidak bertindak di luar batas perundangan ketika berdepan isu sensitif termasuk melibatkan rumah ibadat.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada semua pihak agar tidak bertindak di luar batas perundangan ketika berdepan isu sensitif termasuk melibatkan rumah ibadat.

Perdana Menteri menegaskan Malaysia berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengambil tindakan sendiri.

Advertisement

Tegasnya, sebarang rasa tidak puas hati perlu disalurkan melalui mekanisme yang betul seperti membuat laporan kepada pihak polis atau membawa perkara ke mahkamah.

“Negara ini mesti ditadbir berlandaskan undang-undang, bukan mengikut kehendak mana-mana pihak. Gunakan saluran yang sah dan jangan bertindak sendiri.

"Malaysia ini pelbagai kaum dan juga pelbagai budaya dengan pelbagai adat kekuatan. Akan tetapi kalau kita berpecah dan pandang ringan maka mungkin boleh menimbulkan unsur-unsur ketegangan dalam kalangan kita sendiri," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina ACCCIM, di sini pada Selasa.

Anwar berkata, perbezaan pandangan dan pertikaian yang timbul dalam masyarakat perlu ditangani secara tertib melalui proses perundangan agar tidak menimbulkan ketegangan atau menggugat perpaduan.

“Pendirian ini menegaskan kepentingan kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik serta keharmonian masyarakat majmuk.

"Semua perlu tahu peraturannya apa yang boleh dan tidak boleh. Tetapi kita perlu tangani dengan baik sesuatu perkara dan jangan menghina amalan semua kaum. Ya, sememangnya timbul pelbagai isu, kontroversi dan perbezaan… namun keutamaan kita adalah memastikan kestabilan terpelihara, kesucian kepercayaan kita dihormati serta pada masa yang sama memelihara perpaduan sejagat," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah diarahkan supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang bagi memastikan ketenteraman awam dan keharmonian negara terus terpelihara.

Menyentuh isu berkaitan rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan serta cadangan pembinaan ladang babi yang hangat diperkatakan di Selangor kebelakangan ini, beliau berkata perkara itu perlu ditangani dengan baik dan penuh hormat.

Must Watch Video