Projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura dijangka antara topik perbincangan semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Shinzo Abe di sini Rabu.

Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris berkata lawatan kerja Najib mulai esok adalah atas jemputan pemimpin Jepun itu baru-baru ini.

Pertemuan dua hala Najib dan Abe dijadual berlangsung di pejabat Perdana Menteri Jepun dan disusuli dengan jamuan malam di kediaman rasmi pemimpin itu.

Semasa di Tokyo, Najib juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pelancongan Jepun (MILT), Keiichi Ishii selain pertemuan dengan anggota Persatuan Persahabatan Ahli Parlimen Jepun-Malaysia dan Pengerusi dan CEO Organisasi Perdagangan Luar Jepun (JETRO).

Perkara lain yang dijangka disentuh dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu ialah soal keselamatan rantau terutama berhubung Laut China Selatan dan situasi di Semenanjung Korea.

Najib turut dijadual menyaksikan upacara penyerahan derma dua buah bot peronda terpakai kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Menurut Ahmad Izlan, perbincangan juga menyentuh cadangan program bersama sempena sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Jepun, sejak 1957.

Ini adalah lawatan keempat Najib ke negara Matahari Terbit itu, kali terakhir pada Mei 2015.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang turut sama dalam lawatan ini dijadual bertemu isteri Perdana Menteri Jepun, Akie Abe di kediaman rasmi Perdana Menteri.

Lawatan ini dilihat sebagai mengimbangi hubungan dua hala Malaysia dengan dua gergasi ekonomi Asia iaitu China dan Jepun, selain Korea Selatan.

Ketiga-tiga negara itu merupakan pembida kepada projek kereta api laju KL-Singapura yang dianggar bernilai kira-kira RM60 bilion.

Kunjungan Najib ke China hujung bulan lepas mendapat perhatian pelbagai pihak terutama di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi kejayaan mewujudkan peluang pelaburan yang besar dengan termeterainya sekurang-kurangnya 14 memorandum persefahaman di Beijing.

Ahmad Izlan menjelaskan bahawa kerjasama ekonomi Malaysia-Jepun kini ditingkatkan lebih pesat melalui Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur (LEP 2.0).

Tahun lalu, Jepun adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan lebih RM127 bilion.

Lawatan kerja Najib turut disertai dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahalan. -- Bernama