Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Projek solar 1GW Helios di Gua Musang sasarkan operasi komersial akhir 2028

Dato' Dr Zuraidi Ishak
Zuraidi, berkata projek berkenaan kini berada pada peringkat pra-pembangunan, dengan kerja teknikal, kajian sambungan grid, penilaian alam sekitar, perancangan pembiayaan serta rundingan bersama bakal pembeli tenaga dilaksanakan secara serentak. - Gambar Helios
Advertisement

KUALA LUMPUR: Helios Photovoltaic Sdn. Bhd. (Helios) memulakan fasa pra-pembangunan projek Taman Solar Helios di Gua Musang, Kelantan, yang mempunyai kapasiti penjanaan solar sehingga 1,000 megawatt-peak (MWp) dan dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 1,600 megawatt-jam (MWh).

Projek bernilai kurang RM3 bilion itu disasarkan mencapai operasi komersial menjelang akhir 2028 bagi menyokong pelaksanaan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Helios Solar AG, Datuk Zuraidi Ishak, berkata projek berkenaan kini berada pada peringkat pra-pembangunan, dengan kerja teknikal, kajian sambungan grid, penilaian alam sekitar, perancangan pembiayaan serta rundingan bersama bakal pembeli tenaga dilaksanakan secara serentak.

Menurut beliau, pembangunan Helios Solar Park akan melibatkan kira-kira 3,000 ekar daripada keseluruhan pegangan tanah seluas kira-kira 10,000 ekar di Gua Musang, dengan sasaran operasi komersial tertakluk kepada hasil kajian teknikal, ketersediaan grid serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

“Kita sasarkan penghujung 2028, fasa pertama sudah boleh berjalan. Sebab kita mahu mengejar inisiatif CRESS dan itu adalah sasaran kita,” katanya dalam satu kenyataan selepas sidang media majlis menandatangani perjanjian Projek Taman Solar Helios Gua Musang, hari ini.

Bagi memastikan pembangunan projek berjalan mengikut perancangan, Helios telah melantik empat perunding khusus, iaitu AHAR Consultant PLT (AHARC) bagi kejuruteraan utama dan voltan tinggi, Angkasa Consulting Services Sdn. Bhd. bagi kejuruteraan awam, struktur serta mekanikal dan elektrikal, Total Power Solutions Sdn. Bhd. (TOPS) bagi kajian sistem kuasa, serta TNB Labs bagi penilaian impak alam sekitar dan sosial.

Pelantikan itu merangkumi kepakaran teknikal utama yang diperlukan pada peringkat pra-pembangunan, termasuk penyelarasan kejuruteraan, perancangan sistem fotovoltaik, kajian sambungan grid serta penilaian alam sekitar dan sosial.

Zuraidi berkata pelantikan perunding berkenaan merupakan antara langkah awal penting sebelum projek bergerak ke fasa seterusnya, termasuk proses penutupan kewangan.

“Milestone pertama yang kita sudah capai hari ini ialah pelantikan semua perunding yang mempunyai kredibiliti dan pengalaman luas dalam bidang ini. Kita akan melihat hasil kajian kebolehlaksanaan (FS) dalam tempoh tiga bulan akan datang sebelum bergerak ke arah penutupan kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata anggaran kos pembangunan projek adalah kurang RM3 bilion, tidak termasuk kos berkaitan pembangunan dan perkhidmatan profesional, manakala Helios turut meneroka beberapa mekanisme pembiayaan melalui instrumen ekuiti dan pasaran modal.

Helios juga bekerjasama dengan KLDX bagi meneroka peluang pembiayaan dan laluan komersial berkaitan projek, termasuk tokenisasi sijil tenaga boleh baharu (REC), kredit karbon, pendekatan Virtual Power Purchase Agreement (VPPA) untuk mendapatkan pembeli tenaga serta struktur nota tokenisasi.

Kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan pelanggan korporat yang mempunyai keperluan terhadap tenaga boleh baharu, termasuk sektor pusat data yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Helios Photovoltaic Sdn Bhd berkata, Helios telah menerima beberapa pertanyaan daripada bakal pelanggan, terutama daripada sektor pusat data yang memerlukan bekalan tenaga dalam jumlah besar.

“Kita sudah menerima banyak pertanyaan daripada pusat data yang akan dibangunkan. Seperti yang kita tahu, pusat data menggunakan tenaga dalam jumlah yang sangat besar. Jadi, projek ini datang pada masa yang tepat untuk memenuhi keperluan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Helios Photovoltaic Sdn. Bhd. turut memeterai surat hasrat bersama Power China menerusi Sinohydro Corporation (M) Sdn. Bhd. bagi meneroka kerjasama dalam aspek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek berkenaan.

Kerjasama itu menjadi langkah awal ke arah pembentukan perjanjian EPCC yang lebih menyeluruh, dengan terma teknikal dan komersial akan dimuktamadkan pada fasa pembangunan seterusnya.
 

Must Watch Video

Advertisement