PUNB lantik Rastam Mohd Isa pengerusi baharu

PUNB yakin pengalaman luas Rastam akan menjadi aset yang sangat berharga kepada organisasi terutamanya ketika mereka meraikan ulang tahun ke-35 tahun ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) melantik Tan Sri Rastam Mohd Isa sebagai pengerusi baharunya, berkuat kuasa 1 Januari, 2026.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin berkata PUNB yakin pengalaman luas Rastam akan menjadi aset yang sangat berharga kepada organisasi terutamanya ketika mereka meraikan ulang tahun ke-35 tahun ini dan memulakan R30, pelan hala tuju strategik 5 Tahun (2026-2030).
"Pelan hala tuju strategik 5 Tahun (2026-2030) kami bertujuan membawa PUNB ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan visi untuk menjadi pemacu pertumbuhan usahawan Bumiputera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rastam adalah bekas ketua setiausaha Kementerian Luar Negeri sebelum bersara pada 2 September 2010, selepas berkhidmat selama lebih 36 tahun sebagai diplomat Kerajaan Malaysia. Perlantikan terakhir beliau sebelum PUNB adalah sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif FGV Holdings Berhad dari September 2023 hingga September 2025.
Beliau memulakan kerjayanya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 17 April 1974 dan sepanjang kerjayanya telah memegang beberapa jawatan penting di luar negara termasuk sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Pakistan (1994-1996), Duta Besar ke Bosnia Herzegovina (1996-1998), Duta Besar ke Republik Indonesia (1999-2003), dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York (2003-2005).
Dalam sektor korporat, Rastam pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat swasta dan syarikat senaraian awam di Malaysia, termasuk Eversendai Corporation Berhad, Sime Darby Energy Sendirian Berhad dan ING Public Takaful Ehsan Berhad, serta berkhidmat sebagai pengerusi Tropicana Corporation Berhad (2014-2017) sebelum pelantikan beliau di FGV Holdings Berhad.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


