Skip to main content

Dunia

Algoritma suapan TikTok boleh dorong pengguna kepada kandungan memudaratkan - EU

Menurut Suruhanjaya Eropah, pendedahan berulang boleh meningkatkan perasaan sedih dan keresahan, merendahkan keyakinan diri serta memburukkan ketidakpuasan terhadap bentuk tubuh badan, gangguan pemakanan dan masalah kesihatan mental yang lain. - Gambar Reuters
Menurut Suruhanjaya Eropah, pendedahan berulang boleh meningkatkan perasaan sedih dan keresahan, merendahkan keyakinan diri serta memburukkan ketidakpuasan terhadap bentuk tubuh badan, gangguan pemakanan dan masalah kesihatan mental yang lain. - Gambar Reuters
Advertisement

BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah memaklumkan pada Jumaat bahawa algoritma cadangan kandungan TikTok melanggar peraturan Kesatuan Eropah (EU) kerana berisiko  mendedahkan pengguna secara berulang kali kepada kandungan memudaratkan, menurut dapatan awal siasatannya, lapor Anadolu Ajansi.

Suapan peribadi TikTok yang dikenali sebagai “For You” boleh mendorong pengguna ke dalam apa yang disebut sebagai “lubang arnab”, iaitu keadaan apabila pengguna terus disajikan dengan video berkaitan masalah kesihatan mental, kesedihan, pengasingan diri dan imej tubuh badan, menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Pendedahan berulang kepada kandungan sedemikian boleh menjejaskan kesejahteraan mental pengguna, khususnya golongan bawah umur dan orang dewasa yang mudah terdedah kepada risiko, menurut dapatan awal itu.

Advertisement

Algoritma platform berkenaan bergantung pada tahap penglibatan pengguna, termasuk jumlah tontonan video dan tanda suka, bagi menentukan kandungan yang disyorkan. Interaksi dengan bahan yang berisiko mencetuskan kesan negatif, seperti video berkaitan penurunan berat badan dan imej tubuh badan, boleh menyebabkan pengguna menerima lebih banyak cadangan kandungan yang serupa.

Menurut suruhanjaya itu, pendedahan berulang boleh meningkatkan perasaan sedih dan keresahan, merendahkan keyakinan diri serta memburukkan ketidakpuasan terhadap bentuk tubuh badan, gangguan pemakanan dan masalah kesihatan mental yang lain.

Advertisement

EU turut mendapati TikTok gagal menilai secara menyeluruh risiko yang ditimbulkan oleh sistem cadangannya serta melaksanakan langkah berkesan untuk mengurangkan risiko berkenaan.

Langkah sedia ada, termasuk ciri yang bertujuan mempelbagaikan kandungan yang disyorkan, didapati tidak mencukupi untuk menghalang pengguna daripada terus menemui bahan yang serupa, menurut suruhanjaya itu.

Pilihan “tidak berminat” pada TikTok juga mungkin gagal mengubah suapan pengguna secara ketara kerana algoritma platform itu lebih mengutamakan tempoh tontonan berbanding permintaan jelas pengguna untuk mengurangkan paparan kandungan tertentu.

Suruhanjaya itu berkata TikTok perlu mempertimbangkan untuk lebih mengutamakan pilihan yang dinyatakan pengguna serta tidak lagi menggunakan tempoh tontonan sebagai petunjuk bagi mencadangkan kandungan. Suruhanjaya itu turut menggesa supaya kawalan pengguna lebih mudah digunakan dan algoritma diuji secara berkala.

TikTok kini diberi peluang untuk meneliti dokumen siasatan dan mengemukakan maklum balas secara bertulis.

Sekiranya suruhanjaya itu akhirnya mengesahkan dapatan berkenaan, ia boleh mengeluarkan keputusan ketidakpatuhan dan mengenakan denda sehingga enam peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan tahunan TikTok di seluruh dunia.

Dapatan itu merupakan sebahagian daripada prosiding rasmi bagi meneliti pematuhan TikTok terhadap Akta Perkhidmatan Digital EU termasuk reka bentuk platform yang boleh menyebabkan ketagihan, perlindungan golongan bawah umur, akses penyelidik kepada data awam serta ketelusan pengiklanan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement