WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melantik Stephen Miller, arkitek di sebalik dasar imigresen tegas pentadbirannya sebagai Ketua Staf White House yang baharu susulan kekalahan besar Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal negara itu.
Miller menggantikan Susie Wiles yang mengemukakan peletakan jawatan selepas Republikan kehilangan kawalan ke atas Dewan Perwakilan dan Senat, sekali gus menjejaskan peluang pelaksanaan agenda Trump dalam baki dua tahun terakhir penggal pentadbirannya.
Bercakap kepada pemberita, Trump berkata, Wiles telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang tempoh perkhidmatannya.
"Beliau melakukan tugas yang sangat baik, tetapi kadangkala kita perlu membuat perubahan," katanya.
Miller, sekutu rapat Trump yang ketika ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Staf White House dijadual memulakan tugas baharunya pada Isnin.
Beliau merupakan antara pembantu paling setia kepada Trump dan terus bersama presiden itu selepas kekalahannya dalam pilihan raya 2020 sebelum kembali menganggotai pentadbiran apabila Trump kembali ke White House tahun lalu.
Menurut seorang pegawai AS yang dipetik CBS News, rakan media BBC, Wiles menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Trump pada malam Khamis, manakala tiga sumber memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan prestasi buruk Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Dalam satu kenyataan, Trump memaklumkan, Wiles akan dipindahkan ke "Trump Political Operation" dan menyifatkan Miller sebagai tokoh yang memahami strategi politik dengan baik.
Wiles pula menyifatkan peluang berkhidmat dalam pasukan Trump sebagai penghormatan terbesar dalam hidupnya.
"Saya berbangga menjadi sebahagian daripada pencapaian bersama, daripada memperkukuh kawalan sempadan dan mengurangkan cukai kepada memperkasa ekonomi serta meletakkan Amerika di tempat pertama.
"Walaupun peranan saya berubah, komitmen saya terhadap Presiden dan misi ini tidak akan berubah," katanya.
Masa depan beberapa timbalan Wiles di White House bagaimanapun masih belum diketahui.
Wiles, 69, dianggap antara individu paling berpengaruh dalam pentadbiran Trump serta mempunyai hubungan yang rapat dengan presiden itu.
Bulan lalu, Trump menepis spekulasi mengenai kemungkinan Wiles digantikan apabila menyatakan tiada peluang untuk perkara itu berlaku.
"Susie ada di sini dan akan terus berada di sini untuk tempoh yang lama," katanya ketika itu.
Wiles sebelum ini menjalani rawatan kanser dan mengumumkan pada September bahawa beliau kini berada dalam fasa remisi, enam bulan selepas didiagnosis menghidap penyakit tersebut.
Peletakan jawatannya berlaku ketika beberapa pegawai kanan pentadbiran Trump turut meninggalkan kerajaan susulan keputusan pilihan raya yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan Republikan mengenai hala tuju parti itu.
Antara yang meletakkan jawatan termasuk Ketua Bahagian Keselamatan Negara Jabatan Kehakiman, John Eisenberg serta Jason Reding Quiñones yang terkenal kerana mengetuai siasatan berkaitan teori konspirasi terhadap pegawai yang menyiasat pengendalian dokumen sulit oleh Trump.
Pelantikan Miller menerima kritikan hebat daripada pemimpin Demokrat yang menuduh Trump terus mempertahankan dasar kontroversinya meskipun pengundi telah menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap agenda Republikan.
Ahli Kongres Demokrat, Robert Garcia yang bakal mengetuai Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan selepas Demokrat mengambil alih dewan itu, berkata, beliau akan meneruskan siasatan terhadap Miller serta dakwaan salah laku melibatkan tokoh berkenaan.
Garcia mendakwa, Miller merupakan individu yang bertanggungjawab merangka operasi serbuan imigresen yang menimbulkan ketakutan dalam komuniti pendatang di AS.
Sementara itu, Ketua Minoriti Demokrat di Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries menyifatkan Miller sebagai seorang pelampau dan xenofobia yang berbahaya.
Pengarah Komunikasi White House, Steven Cheung bagaimanapun mempertahankan pelantikan itu dengan menyifatkan Miller sebagai individu yang bersama Trump sejak awal perjuangan politiknya.
"Tiada penyokong agenda Trump yang lebih besar daripada Stephen. Beliau akan membantu pentadbiran mencapai lebih banyak kejayaan besar sepanjang baki penggal kedua bersejarah ini," katanya. - Agensi