Pungutan suara Greece dijangka mempengaruhi prestasi Bursa Malaysia minggu depan meskipun penarafan stabil terhadap prospek ekonomi Malaysia oleh Fitch Ratings.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan berkata pasaran mula merosot selepas kenaikan pada minggu lepas.

Beliau berkata ringgit turun 0.3 peratus berbanding dolar AS meskipun penarafan positif tersebut dan ini berpotensi melemahkan sentimen pelabur.

"Paras sokongan bursa tempatan dijangkakan pada 1,700 mata dan 1,680 mata dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pelabur masih terus bimbang dan kekal tidak memasuki pasaran berikutan kemungkinan Greece keluar dari zon Eropah dan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS, bermula 6 Julai, yang mungkin memutuskan untuk menaikkan kadar faedah.

Sementara itu, bagi minggu yang baru berakhir ini, pasaran lemah pada awalnya tetapi kemudiannya naik selepas pengumuman penarafan positif daripada Fitch.

Pada Isnin indeks susut ke paras terendahnya dalam tempoh lima bulan pada 1,691.92, apabila bursa tempatan menerima kesan daripada kebimbangan akan kemungkiran hutang Greece dan kemungkinan penurunan penarafan oleh Fitch.

FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 23.77 mata untuk ditutup kepada 1,734.24 berbanding 1,710.47 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas meningkat 125.45 mata kepada 11,958.45, Indeks FBMT100 naik 134.14 mata kepada 11,644.80, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 124.71 mata kepada 12,431.07 dan FBM 70 menokok 54.65 mata kepada 12,881.76.

Bagaimanapun, FBM Ace turun 104.55 mata kepada 6,293.80.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan meningkat 85.17 mata kepada 15,599.39, Indeks Perladangan naik 203.5 mata kepada 7,461.84 dan Indeks Perusahaan menokok 62.5 mata kepada 3,202.74.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 8.27 bilion unit bernilai RM9.37 bilion daripada 7.35 bilion unit bernilai RM8.19 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 4.75 bilion unit bernilai RM8.39 bilion daripada 4.91 bilion unit bernilai RM8.31 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 848.35 juta unit bernilai RM1.76 bilion daripada 848.35 juta unit bernilai RM225.53 juta.

Pasaran ACE susut kepada 1.49 bilion saham bernilai RM608.59 juta daripada 1.84 bilion saham bernilai RM606.91 juta.