Skip to main content

Politik

PRN Melaka: MCA keluar dewan, PKR persoal keikhlasan UMNO dalam kerjasama politik

Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang berkata tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada kerjasama politik yang dijalin UMNO dengan parti lain berlandaskan prinsip dan kepercayaan, atau sekadar kepentingan politik serta kuasa. - Gambar fail
Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang berkata tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada kerjasama politik yang dijalin UMNO dengan parti lain berlandaskan prinsip dan kepercayaan, atau sekadar kepentingan politik serta kuasa. - Gambar fail

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pemimpin PKR mempersoalkan keikhlasan UMNO dalam kerjasama politik selepas MCA keluar dewan pada majlis pengenalan calon BN PRN Melaka.
  • PKR menegaskan pendekatan Pakatan Harapan lebih inklusif berbanding BN yang didakwa mendominasi dan mengetepikan parti komponen kecil seperti MCA dan MIC.
  • MCA mendakwa tidak dimaklumkan mengenai perubahan atur cara majlis dan keputusan pengagihan kerusi dibuat tanpa perbincangan menyeluruh.

KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan keikhlasan UMNO dalam menjalin kerjasama politik selepas MCA meninggalkan dewan ketika majlis pengenalan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu.

Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang berkata tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada kerjasama politik yang dijalin UMNO dengan parti lain berlandaskan prinsip dan kepercayaan, atau sekadar kepentingan politik serta kuasa.

“Jika MCA, rakan komponen BN sejak sekian lama, pun merasakan mereka tidak dihormati, bagaimana pula dengan parti-parti lain yang menjalin kerjasama dengan BN?” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata tidak bersimpati dengan MCA, sebaliknya menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang sudah dijangka berdasarkan ‘layanan’ UMNO terhadap parti berkenaan.

Beliau menambah, pendekatan Pakatan Harapan (PH) berbeza apabila PKR sebagai parti pengasas gabungan itu tidak mengamalkan sikap mendominasi atau membuli parti rakan seperti yang didakwanya berlaku dalam BN.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengamalkan pendekatan konsultatif dan inklusif, termasuk ketika bekerjasama dengan parti lebih kecil seperti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebelum ini.

“Justeru, PH lebih kukuh dan stabil dalam mentadbir negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR, Danish Hairudin pula mendakwa tindakan MCA meninggalkan majlis itu menunjukkan parti berkenaan menyedari bahawa mereka tidak dihormati oleh rakan gabungan sendiri.

Ujarnya, UMNO terlalu menumpukan kemungkinan memperoleh keuntungan politik jangka pendek melalui kerjasama dengan Pas sehingga mengabaikan kepentingan MCA dan MIC.

“Perkara ini turut menimbulkan persoalan sama ada mana-mana kerajaan gabungan yang melibatkan UMNO dan Pas akan mengetepikan suara serta kepentingan golongan minoriti begitu sahaja.

“Hakikatnya, MCA dan MIC secara keseluruhannya hanya mempunyai tiga kerusi di Dewan Rakyat dan tidak mempunyai sebarang jawatan menteri,” katanya.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong semalam dilaporkan berkata, MCA tidak dimaklumkan mengenai perubahan atur cara majlis yang pada awalnya diberitahu hanya melibatkan pelancaran jentera, sebelum turut disusuli pengumuman calon.

Beliau mendakwa, keputusan pengagihan kerusi turut dibuat tanpa perbincangan menyeluruh dengan MCA.
 

Must Watch Video

Advertisement