PUTRAJAYA: Purata gaji dan upah bulanan warganegara Malaysia meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada tahun sebelumnya, menurut Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Pada masa sama, penengah gaji dan upah bulanan meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 daripada RM2,793 pada 2024.
DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilangan penerima gaji dan upah bulanan keseluruhan meningkat kepada 12.01 juta orang berbanding 11.96 juta pada 2024 dan daripada jumlah itu, warganegara Malaysia merangkumi 10.38 juta orang atau 86.4 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji sepenuh masa.
“Sektor perkhidmatan mewakili 71.5 peratus menjadi penyumbang utama kepada peningkatan bilangan penerima upah, meningkat 1.8 peratus kepada 7.42 juta orang.
“Sementara itu, perlombongan dan pengkuarian kekal sebagai purata gaji dan upah bulanan tertinggi, iaitu RM6,175 diikuti oleh perkhidmatan (RM3,993), pembuatan (RM3,357), pembinaan (RM3,188) dan pertanian (RM2,575),” menurut kenyataan itu.
Dari segi kemahiran, DOSM memaklumkan pekerja mahir yang merangkumi 36.6 peratus daripada keseluruhan penerima gaji mencatatkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi sebanyak RM5,799 berbanding RM5,582 pada 2024.
Kategori separuh mahir yang merangkumi 55.6 peratus daripada penerima gaji pula mencatatkan peningkatan purata gaji sebanyak 4.2 peratus kepada RM2,714 daripada RM2,604 manakala kategori berkemahiran rendah naik 2.6 peratus kepada RM2,184 daripada RM2,128.
“Selangor mencatatkan peratus sumbangan penerima gaji tertinggi iaitu 25.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja bergaji warganegara diikuti Johor (13.6 peratus) dan Sarawak (7.6 peratus),” menurut kenyataan itu.
DOSM memaklumkan lima negeri menunjukkan nilai purata gaji dan upah bulanan melebihi paras nasional, iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya pada RM5,417, Kuala Lumpur (RM4,955), Selangor (RM4,258), Pulau Pinang (RM3,912) dan Labuan (RM3,887).
Menurut DOSM, pertumbuhan positif purata dan penengah gaji serta upah bulanan pada 2025 mencerminkan perkembangan lebih baik dalam pasaran buruh dan pendapatan pekerja.
“Menuju ke hadapan, usaha berterusan untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh kemahiran dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi adalah penting bagi menyokong pertumbuhan gaji benar yang mampan serta kesejahteraan pekerja.
“Selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), pembangunan tenaga buruh yang berdaya saing dan produktif serta pengukuhan reformasi pasaran buruh penting bagi menyokong pertumbuhan gaji yang mampan dan inklusif,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA