Skip to main content

Malaysia

Sultan Pahang nasihat rakyat sentiasa berwaspada hadapi musim tengkujuh

Baginda bertitah rakyat perlu mengutamakan aspek keselamatan diri dan keluarga, khususnya ketika berhadapan keadaan cuaca tidak menentu. - Foto Instagram/kesultanan.pahang
Baginda bertitah rakyat perlu mengutamakan aspek keselamatan diri dan keluarga, khususnya ketika berhadapan keadaan cuaca tidak menentu. - Foto Instagram/kesultanan.pahang
Advertisement

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan seluruh rakyat di Pahang agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak kerajaan dan agensi berkaitan, sepanjang menghadapi musim tengkujuh. 

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda bertitah rakyat perlu mengutamakan aspek keselamatan diri dan keluarga, khususnya ketika berhadapan keadaan cuaca tidak menentu serta risiko hujan berterusan, yang boleh mengakibatkan banjir dan bencana alam lain.

“Baginda menyeru penduduk di kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai supaya mengambil langkah persediaan awal, termasuk mengamankan dokumen penting, memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” menurut hantaran itu.

Advertisement
Advertisement

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat agar sentiasa peka dengan sebarang amaran cuaca dan banjir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selain sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi kerajaan.

Dalam pada itu, baginda berharap seluruh agensi pengurusan bencana, pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan, sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Baginda juga menyeru rakyat agar mengutamakan semangat kebersamaan, saling membantu dan prihatin terhadap golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta mereka yang memerlukan bantuan, khususnya ketika menghadapi situasi kecemasan,” menurut hantaran itu.

Sultan Pahang turut menzahirkan harapan segala langkah persediaan dan tindakan awal yang dilaksanakan dapat membantu mengurangkan risiko serta kesan bencana, sekali gus memastikan keselamatan seluruh rakyat Negeri Pahang sepanjang musim tengkujuh ini. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement