KUALA LUMPUR: Komuniti perniagaan Qatar semakin giat meneroka peluang pelaburan dalam industri halal Malaysia yang merangkumi pelbagai bidang termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik serta pelancongan.
Menurut portal berita berbahasa Arab Qatar, Al-Watan, Dewan Perniagaan dan Industri Qatar (QCCI) telah menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Kuala Lumpur
Delegasi QCCI diketuai anggota Lembaga Pengarahnya Dr Mohammed bin Jowhar Al Mohammed, bertujuan membuka saluran baharu kepada syarikat Qatar untuk menjalin hubungan dengan syarikat, pembekal dan pelabur dari Malaysia serta pasaran antarabangsa.
“Penyertaan QCCI dalam MIHAS 2026 dan Sidang Kemuncak Halal Global 2026 mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti perniagaan Qatar terhadap ekonomi halal yang tidak lagi terhad kepada makanan dan minuman,” menurut laporan itu.
Beliau menambah ekonomi halal kini turut merangkumi farmaseutikal, kosmetik, pelancongan, perkhidmatan, logistik, teknologi dan pembungkusan, sekali gus menawarkan ruang lebih luas untuk kerjasama perniagaan dan pelaburan.
Menurut beliau QCCI berusaha menghubungkan syarikat Qatar dengan rakan sejawat dari Malaysia dan negara lain, selain menggalakkan kerjasama perniagaan, meningkatkan perdagangan import dan eksport serta meneroka peluang pelaburan bersama dalam rantaian nilai industri halal.
MIHAS 2026 berlangsung di Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 Sept dan menghimpunkan syarikat, pelabur, pembeli serta pemain industri halal dari pelbagai negara.
-- BERNAMA