KUALA LUMPUR: Reaksi positif pasaran terhadap kerajaan baharu adalah bukti keyakinan pelabur terhadap kestabilan pentadbiran walaupun kebanyakan mereka adalah pihak yang sama menyokong Perdana Menteri yang lalu.

Dalam masa sama, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletakkan kepercayaan dalam beberapa pendekatan inklusif yang dilakukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak menjadi Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu.
 
"Seperti apa yang dikatakan Perdana Menteri dalam ucaptamanya, iaitu bekerjasama sebagai sebuah keluarga atau Keluarga Malaysia, dan Perdana Menteri juga menekankan bahawa beliau telah menghubungi pemimpin pembangkang.

"Sebenarnya, minggu pertama bertugas, ada pernyataan bersama dengan semua pemimpin pembangkang.

"Oleh itu, saya optimis bahawa bersama dengan ahli politik pembangkang yang lain, kita akan bekerjasama untuk menyokong pemulihan negara dan membina masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari untuk semua.

"Saya rasa semangat ini yang mencerminkan sentimen positif baru-baru ini dalam pasaran modal dan kewangan," katanya semasa Wawancara Khas The Straits Times bertajuk  “Beyond The Pandemic: Malaysia’s Way Forward” pada Khamis.

BACA: Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik libat wakil pembangkang - PM 

BACA: Reformasi institusi: Rundingan blok Pembangkang, Kerajaan sedang berjalan - Anwar

BACA: Jawatankuasa Khas: Pembangkang sentiasa bersedia, sambut baik usaha kerajaan - Dr Dzulkefly 


Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, pelantikan semula barisan kabinet itu akan melancarkan proses membuat dasar kerajaan.

Katanya, cabaran kesihatan awam telah memberi panduan kepada negara untuk mencari jalan keluar dari pandemik termasuk mengekalkan kepimpinan dalam sesetengah kementerian.

Malah, sejak seminggu lalu, kebanyakan pasaran menunjukkan tanda-tanda kestabilan apabila Ringgit Malaysia dibuka kukuh berbanding Dollar Amerika sebanyak 1.7 peratus.