RHB Asset Management Sdn Bhd melancarkan dana pendapatan dan pertumbuhan Islam Asia Pasifik, RHB-OSK Islamic Regional Balanced Fund.

Dana berkenaan mematuhi Syariah dan memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik.

Dana itu juga merupakan tambahan terbaharu kepada 10 dana Islam RHB Asset Management yang bertujuan menyediakan pendapatan tetap dalam bentuk unit diraih dan pertumbuhan modal daripada kepelbagaian portfolio, baik pelaburan tempatan mahupun asing yang mematuhi Syariah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Ho Seng Yee berkata pelanggan akan mendapati dana itu sebagai pilihan yang menarik berbanding pilihan pelaburan tradisional, di samping menambah pulangan dan mengurangkan risiko pelaburan.

"Kami yakin RHB-OSK Islamic Regional Balanced Fund akan dapat mencontohi prestasi kukuh dan kejayaan dana sedia ada kami," kata beliau.

Dana itu dirangka bagi menyahut keperluan pelabur yang mematuhi Syariah yang mencari kepelbagaian pelaburan jangka sederhana dan jangka panjang yang menguntungkan dengan portfolio seimbang.

Ia akan melaburkan antara 40 hingga 60 peratus nilai aset bersih dalam ekuiti yang berlandaskan Syariah dan pelaburan mematuhi Syariah bukan ekuiti.

Bagi mencapai kepelbagaian yang optimum, dana itu mungkin melabur semua nilai aset bersihnya dalam pasaran terpilih di rantau Asia Pasifik, termasuk China, Hong Kong, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, Australia, New Zealand dan Jepun.

Harga terbitan awal dana itu ialah RM1.00 seunit, dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM1,000, dalam tempoh tawaran awal 21 hari mulai hari ini. -- Bernama