KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama pada Selasa, disokong sentimen pasaran yang bertambah baik susulan penurunan harga minyak global serta perkembangan geopolitik.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat sedikit kepada 4.0750/0805 berbanding dolar AS daripada paras 4.0755/0800 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah Brent turun 3.4 peratus kepada AS$100.34 setong susulan data satelit yang menunjukkan Arab Saudi mengalihkan eksport minyaknya melalui Selat Hormuz selepas saluran paip Timur-Barat ditutup.
Dilaporkan bahawa Arab Saudi meningkatkan eksport minyak mentah melalui Selat Hormuz kepada kira-kira 2.9 juta tong sehari daripada sekitar 700,000 tong sehari pada Ogos susulan gangguan terhadap saluran paip Timur-Barat.
“Pada masa sama, kesediaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk bertemu Presiden Iran semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini turut menunjukkan perkembangan positif berhubung perang di Asia Barat,” katanya kepada Bernama.
Susulan perkembangan itu, ringgit berpotensi menunjukkan trend pengukuhan secara beransur-ansur hari ini, katanya.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding euro kepada 4.6716/6779 daripada 4.6783/6834 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4475/4548 daripada 5.4542/4603, selain naik berbanding yen Jepun kepada 2.5893/5931 daripada 2.5916/5946 sebelum ini.
Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Ia meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1931/1976 daripada 3.1950/1987, tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 12.2593/2822 daripada 12.2450/2637 sebelum ini.
Mata wang tempatan tidak banyak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 228.3/228.7 daripada 228.3/228.6, manakala kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.49/6.50 ketika ditutup pada Isnin.
-- BERNAMA