KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Khamis dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan negara maju itu bertindak mengekalkan kadar faedah utama pada 5.50 peratus.

Pada 9 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.7070/7105 berbanding dolar AS daripada paras 4.7335/7400 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan FOMC memaparkan kedua-dua perniagaan dan pengguna AS mengalami cabaran melunaskan hutang yang berpotensi menjejaskan pembayaran balik masing-masing jika tidak ditangani segera.

"Oleh itu, pengurangan Kadar Dana Persekutuan (FFR) adalah wajar dan boleh menyusutkan nilai dolar AS dan sebaliknya mampu meningkatkan nilai ringgit.

"Berikutan itu, kami mengulangi unjuran bahawa kadar pertukaran ringgit mencecah RM4.50 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1261/1287 daripada 3.1207/1252; susut berbanding euro kepada 5.1466/1505 daripada 5.1306/1377 sebelum ini dan turun berbanding pound Britain kepada 6.0226/0271 daripada 6.0082/0165.

Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang Asean iaitu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5169/5198 daripada 3.5204/5255 Rabu.

Ia juga mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.42 daripada 8.43/8.45 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 299.3/299.6 daripada 301.0/301.5 namun rendah berbanding baht Thailand pada 13.0997/1146 daripada 13.0821/1048, semalam.

-- BERNAMA