KUALA LUMPUR: Nilai ringgit menyusut sedikit berbanding dolar AS pagi ini selepas dolar AS kekal teguh walaupun data inflasi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kenaikan yang lebih perlahan untuk Januari, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut kepada 4.3570/3620 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.3455/3495.

Seorang peniaga berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) AS meningkat melepasi jangkaan pasaran kepada 6.4 peratus tahun ke tahun, tetapi mencatatkan kenaikan paling perlahan sejak 2021.

Beliau menambah data inflasi yang lebih lemah gagal menyamai harapan dan menimbulkan kebimbangan bahawa ia tidak turun dengan pantas.

Pasaran kini menjangkakan penggubal dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk kekal cenderung untuk menaikkan kadar faedah dan akan memihak kepada kenaikan seterusnya yang mampu melonjakkan lagi hasil bon Perbendaharaan AS dan dolar AS.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit dijangka bergelut dengan hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi memandangkan harga pasaran mengunjurkan satu lagi kenaikan kadar AS tambahan pada bulan Jun.

Sementara itu, nilai ringgit turut rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2794/2834 daripada 3.2764/2799 pada penutup Selasa dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3051/3112 daripada 5.2963/3012 semalam.

Mata wang tempatan turut susut berbanding euro kepada 4.6781/6835 daripada 4.6762/6805 pada Selasa, tetapi meningkat berbanding yen Jepun menjadi 3.2824/2866 dari 3.2918/2951 sebelum ini.

-- BERNAMA