KUALA LUMPUR: Ringgit susut pada awal dagangan Rabu apabila dolar Amerika Syarikat (AS) terus mengukuh ketika pasaran menunggu data indeks Harga Pengeluar negara maju itu yang akan diumumkan esok.

Pada 9.01 pagi ini, ringgit turun ke paras 4.6495/6565 berbanding dolar AS daripada 4.6405/6445 pada akhir dagangan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) ketika ini bergerak dalam julat 102.523 mata, meningkat daripada 101.333 mata pada awal bulan ini, sekali gus menunjukkan bahawa naratif penurunan kadar faedah AS yang lebih awal semakin lenyap.

Beliau berkata data terkini juga bercampur-campur, termasuk data Penggajian Bukan Perladangan (NFP) meningkat pada 216,00 bagi Disember berbanding 173,000 dalam bulan sebelumnya manakala Indeks ISM AS bagi sektor perkhidmatan turun ke paras 50.6 mata dalam bulan sama daripada 52.7 mata sebelum ini.

"Pasaran tenaga kerja AS susut dengan purata NFP bulanan turun daripada 399,000 pada 2022 kepada 225,000 dalam 2023. Malah, Kadar Penyertaan Tenaga Kerja (LFPR) adalah rendah pada Disember kepada 62.5 peratus daripada 62.8 peratus dalam bulan sebelumnya.

"Berikutan itu, andaian penurunan kadar faedah AS masih utuh ketika Rizab Persekutuan (Fed) negara maju itu perlu membantu ekonomi dengan mengurangkan Kadar Dana Persekutuan untuk memastikan sasaran itu dapat dicapai," katanya kepada BERNAMA.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit kekal dalam julat kecil 4.64 hingga 4.65 pada masa ini ketika pasaran terus memantau data-data akan datang.

Dalam pada itu, berbanding kumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.

Unit tempatan itu susut berbanding euro kepada 5.0819/0896 daripada 5.0790/0834 pada akhir transaksi semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.9100/9189 daripada 5.9092/9143 namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2165/2216 daripada 3.2235/2265 sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean termasuk mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2718/2993 daripada 13.2737/2928 dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.27/8.30 daripada 8.28/8.29.

Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.4925/4980 daripada 3.4912/4947 semalam dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 299.5/300.1 daripada 298.9/299.4. - BERNAMA