KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS kerana kitaran kenaikan kadar faedah AS disifatkan akan berakhir untuk tahun ini, sekali gus mengurangkan sentimen risiko, kata seorang penganalisis.

Pada 9.05 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.6750/6810 berbanding dolar AS daripada penutupan dagangan Jumaat lepas pada 4.7265/7320.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar faedah AS menghampiri puncak kitaran, sebahagiannya didorong oleh laporan gaji bukan ladang (NFP) yang lebih lemah daripada jangkaan.

"NFP yang merupakan pengukur bagi jumlah penghasilan pekerjaan di AS, meningkat pada kadar lebih perlahan kepada 150,000 pada Oktober dan ini mencadangkan kitaran kenaikan kadar faedah semakin hampir ke penghujungnya," katanya.

Selain itu, beliau turut menjangka mata wang tempatan akan meningkat minggu ini selepas berada dalam kedudukan terlebih jual untuk beberapa ketika dan berkemungkinan bergerak positif hari ini, ke arah paras RM4.70 berbanding dolar AS.

Sementara itu, mata wang tempatan diniaga kebanyakan tinggi berbanding mata wang utama yang lain kecuali pound Britain, menyaksikan nilai ringgit turun menjadi 5.7816/7890 daripada 5.7734/7801 Jumaat lepas.

Nilai ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1260/1303 daripada 3.1445/1484 dan tinggi berbanding euro kepada 5.0135/0199 daripada 5.0318/0377 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit diniagakan lebih tinggi.

Mata wang tempatan mengembang berbanding dolar Singapura pada 3.4553/4600 daripada 3.4713/4756 pada Jumaat dan meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 297.2/297.7 daripada 300.5/300.9.

Ringgit turut mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.1861/2097 daripada 13.2332/2553 sebelumnya dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.39 daripada 8.42/8.44.

-- BERNAMA