Skip to main content

Malaysia

PM Anwar mahu projek pembangunan di Kota Kinabalu dipantau rapi

KOTA KINABALU, 15 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kota Kinabalu di Menara Kinabalu, hari ini._BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kota Kinabalu di Menara Kinabalu, hari ini. - Foto Bernama

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan untuk semua pihak terus memberikan tumpuan serta memantau secara rapi pelaksanaan setiap projek pembangunan yang telah diluluskan bagi daerah Kota Kinabalu.

Anwar berkata langkah itu penting kerana rakyat menaruh harapan besar terhadap projek-projek yang memberikan impak langsung kepada kehidupan seharian mereka, termasuk usaha menaik taraf jalan serta kemudahan infrastruktur.

Advertisement

“Pada pandangan saya, tidak seharusnya wujud sebarang alasan yang menyebabkan projek tertangguh akibat ketidakcekapan atau kerenah birokrasi kerana setiap kelewatan akhirnya akan memberikan kesan kepada mutu kehidupan rakyat, selain mengekang potensi kemajuan dan pembangunan negeri,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Beliau berkata kerajaan kekal fokus dalam memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan dengan cekap, telus dan menepati jadual, agar manfaatnya dapat segera dirasai oleh rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kota Kinabalu di Menara Kinabalu di sini, bagi membincangkan agenda pembangunan strategik ibu negeri Sabah itu.

Mesyuarat yang berlangsung dari 1 tengah hari hingga 2 petang itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama beberapa anggota Kabinet negeri serta pemimpin agensi berkaitan.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan Sabah, dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Rubin Balang, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Mojungki serta Mayor Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat jawatankuasa khas itu diadakan bagi membincangkan perkembangan semasa program dan projek yang sedang dilaksanakan, di samping meneliti isu-isu berkaitan kesejahteraan komuniti setempat serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

-- BERNAMA

Must Watch Video